KUCHING: Lesen motosikal bukan sekadar dokumen sah untuk menunggang, malah menjadi asas penting dalam memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata bahawa 349 penerima bantuan lesen memandu kelas B2 perlu melihat lesen yang diperoleh sebagai satu tanggungjawab untuk memastikan keselamatan ketika berada di jalan raya.
“Bukan hanya keselamatan sendiri, ini keselamatan untuk rakyat yang guna jalan raya.

Bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk kita semua,” katanya pada Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran DUN Batu Kawa di SMK Min Lit, Batu Kawa di sini hari ini.
Kui Hian yang juga ADUN Batu Kawa berkata bahawa kepentingan memiliki lesen dan mengutamakan keselamatan jalan raya perlu diberikan perhatian serius berdasarkan jumlah kemalangan yang berlaku di Sarawak setiap tahun.
“Setiap tahun, terdapat 21,747 kemalangan. Seramai 418 orang maut, manakala 189 lagi mengalami kecederaan serius,” katanya.
Menurutnya, kemalangan jalan raya bukan sahaja memberikan kesan kepada mangsa, malah turut membebankan keluarga, rakan-rakan dan kerajaan, khususnya dari segi kos rawatan.
“Bukan diri sendiri sahaja yang susah, tetapi keluarga, kawan-kawan dan kerajaan juga terkesan. Kos perubatan amat mahal,” katanya.
Beliau berkata bahawa jumlah kemalangan harian di Sarawak turut menunjukkan peningkatan berbanding purata 44 kemalangan sehari yang direkodkan pada 2020 dengan kadar kematian 0.86 orang sehari.
“Pada 2024, setiap hari berlaku 60 kemalangan dan purata 1.15 orang meninggal dunia setiap hari,” katanya.
Sehubungan itu, Kui Hian mengingatkan penunggang motosikal supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan atau menganggap motosikal sebagai alat untuk menunjukkan keberanian di jalan raya.
“Jangan fikir diri kita Superman.
Bila berlaku kemalangan, keluarga susah, kawan-kawan susah dan kerajaan juga berdepan masalah,” katanya.
Menurutnya, memiliki lesen yang sah juga semakin penting kerana motosikal kini membuka peluang ekonomi baharu menerusi perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan.
“Lesen ini amat penting untuk keselamatan diri sendiri, juga keselamatan kita dalam komuniti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemalangan boleh berlaku walaupun seseorang sudah menunggang dengan betul akibat kecuaian pengguna jalan raya lain.
“Walaupun kita memandu dengan betul, pengguna di sebelah sana mungkin menyebabkan kemalangan dan melanggar kita. Sebab itu kita perlu sentiasa bertanggungjawab,” katanya.
Pada masa yang sama, Kui Hian merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Memandu MKM serta semua pihak yang menjayakan program bantuan lesen berkenaan.
Beliau berharap para penerima lesen dapat menggunakan kelayakan tersebut dengan penuh tanggungjawab serta sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.


