KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggantung lesen sebuah syarikat pengendali umrah selepas lebih 300 jemaah terjejas akibat pembatalan penerbangan pada 14 Januari 2025.
Menurut kenyataan media MOTAC hari ini, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas premis itu pada hari yang sama aduan diterima.
“Hasil siasatan mendapati syarikat pengendali umrah tersebut telah melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), menyebabkan MOTAC menggantung lesen syarikat tersebut,” kata kenyataan itu.
Menerusi kenyataan sama, pihaknya telah menerima lapan aduan berkaitan syarikat tersebut dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM180,116.
Semasa penggantungan, syarikat dinasihatkan untuk menyelesaikan semua perjalanan yang telah ditempah dan tidak menjalankan urus niaga baru atau pengiklanan pakej.
Bayaran dan dokumen yang telah diambil daripada jemaah yang membatalkan tempahan perlu dipulangkan segera.
“Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung perubahan material dalam pakej umrah yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.
“Rekod terdahulu menunjukkan syarikat ini telah dikompaun sebanyak dua kali,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan itu juga, MOTAC menegaskan komitmennya untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan integriti dalam industri pelancongan berlesen.
Sebarang aduan berkenaan penipuan oleh agensi pelancongan boleh melaporkan kepada MOTAC melalui saluran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA): https://motac.spab.gov.my/; E-mel: ukk@motac.gov.my / group.ukk@motac.gov.my dan boleh menghubungi 03-8000 8000.

