Lif terhempas dari tingkat lima, kanak-kanak patah kaki

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dipercayai patah kaki apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi dekat sini, petang ini.

Ibunya, Haliza Hassan, 37, berkata kejadian berlaku ketika anak lelaki dan suaminya, 35, baru sahaja selesai solat Jumaat dan sedang menaiki lif bersama enam yang lain untuk pulang ke rumah masing-masing.

“Akibat kejadian itu, suami saya turut cedera. Anak saya dipercayai patah kaki. Lepas kejadian, jiran-jiran bantu hubungi ambulans dan bomba. Anak saya dan suami kini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan selanjutnya. Saya harap sangat tiada kecederaan serius.

“Saya desak pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk ambil langkah tegas dalam hal ini, jangan tunggu laporan kematian baru nak bertindak,” katanya ketika menceritakan kejadian itu kepada pemberita di lokasi kejadian.

Sejurus kejadian, sebuah jentera Jabatan Bomba Penyelamat Kuala Lumpur dengan kekuatan 20 anggota pergi ke lokasi kejadian dan menemui lapan mangsa di dalam lif yang mengalami pelbagai kecederaan termasuk patah kaki, cedera di pergelangan kaki dan tangan.

Operasi menyelamat enam lelaki, seorang wanita dan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun itu selesai kira-kira 15 minit kemudian.