KUCHING: Pendatang baharu dalam kancah Liga A1 Semi-Pro, Kejuaraan MBSB Bank 2024, Machan FC melihat peluang tetap terbuka untuk memperoleh mata pada pertemuan menentang Bunga Raya Damansara FC di Stadium UiTM Shah Alam malam esok.
Keyakinan ini disuarakan meskipun kebanyakan pemerhati tempatan meramalkan agak sukar buat kelab dari Sarawak itu untuk merealisasikan misi tersebut jika mengambil kira perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan itu.
Machan FC berada pada kedudukan kedua tercorot dengan mengumpul 8 mata setakat ini selepas hanya berjaya mencatatkan dua kemenangan dan dua kali seri daripada 19 perlawanan dilalui setakat ini.
Bunga Raya Damansara FC pula berada di kedudukan kelima dengan 37 mata selepas mencatatkan 11 kemenangan dan empat seri daripada jumlah perlawanan sama.
Justeru, di atas kertas segalanya tampak terbatas namun keputusan sebaliknya tidak mustahil berlaku.
Pengurus pasukan Machan FC, Azizie Fauzi, menegaskan beliau masih menaruh harapan yang cukup tinggi akan kemampuan pasukannya untuk membuat kejutan w alaupun untuk perlawanan malam esok, beliau mempertaruhkan kesemua pemain muda bawah 21 tahun.
“Memang suatu misi yang agak mustahil, namun kami akan mencuba dan saya percaya berbekal semangat juang yang tinggi, saya yakin peluang untuk beroleh sebarang mata tetap ada,” ujar Azizie kepada Arena Suara Sarawak.

