KUCHING: Sebanyak 10 pasukan mewakili pelbagai kelab handalan bakal berentap dalam Liga Futsal Maghrib KSFC (Edisi Samba) 2026 yang dijadual bermula pada 17 Januari ini.
Pengerusi Kejohanan, Mohd. Aizil Azril Allawee berkata, pasukan yang terlibat ialah Barbosa United, Cosmos 44, Desportivo, El Matador, FC Boyafogo, Joga Bonito, Jogador, Orderm Metropole, Palmeires dan Santos United.

Menurut Aizil, liga berkenaan akan menggunakan format satu pusingan, dengan Gelanggang Futsal Kampung Belawai dipilih sebagai venue perlawanan bagi kesemua pasukan bertanding.
“Saingan akan bermula pada 17 Januari ini dan dijangka berakhir pada 8 Februari depan.
“Kami menjangkakan pertembungan sengit memandangkan setiap pasukan dibarisi ramai pemain berbakat,” katanya ketika ditemui Arena Suara Sarawak.
Tambah beliau, hadiah menarik menanti tiga pasukan terbaik iaitu piala pusingan dan pingat untuk juara.
Naib juara serta pasukan di tempat ketiga masing-masing akan menerima piala dan pingat.
Terdahulu, Aizil merakamkan penghargaan kepada rakan strategik termasuk Skuad Antidadah Bahagian Sarikei, YG Printing & Supply, Smokey Bandit Sight dan KS Global atas sokongan serta kerjasama yang diberikan bagi menjayakan penganjuran liga tersebut.



