Liga M3 2019: Misi mesti menang semua

WALAUPUN ketinggalan tujuh mata di belakang Kelantan United, namun Kuching FA tidak lagi menoleh ke belakang, sebaliknya akan terus berjuang hingga ke detik penamat.

Anak-anak buah Ideris Untong sekarang ini berdepan misi mesti menang semua baki enam perlawanan, termasuk menentang Kelantan United di Stadium Sarawak.

Malah menang semua enam baki aksi juga belum menjamin gelaran juara, kerana terpaksa bergantung kepada keputusan yang diraih oleh Kelantan United. Jadi, di atas kertas peluang juara Kuching FA sekarang ini adalah 30 peratus, berbanding Kelantan United 70 peratus.

Kalah sekali pun Kelantan United di tangan Kuching FA, jika Kelantan memenangi semua perlawanan lain, maka gelaran juara tetap menjadi milik mereka.

Namun, apa-apa pun boleh berlaku terhadap Kelantan United dalam lima baki aksi mereka. Bagi Ideris, mereka tetap akan berusaha sedaya upaya selagi peluang juara masih ada walaupun sukar.

“Peluang juara masih ada walaupun agak sukar bagi kita.

“Kita akan terus mencuba selagi terdaya,” ujar Ideris.

Kuching FA bukan sahaja ketinggalan dari segi pungutan mata, tetapi juga dari segi jumlah jaringan dan bolos.

Hanya juara Liga M3 yang layak secara automatik ke Liga Premier 2020, manakala naib juara akan menentang Sarawak dalam aksi “play-off”.