DENGAN ketinggian hanya 5 kaki 1 inci, Daineleffino Aiho, 22, merupakan pemain yang paling kecil dalam skuad Kuching City FC.
Namun kecil-kecil cili padi, pemain yang dikenali sebagai “Budak” dalam kalangan rakan-rakan itu cukup lincah, dan bijak memperdayakan pemain lawan.
Berasal dari Kampung Petanak Mukah, Budak merupakan antara penemuan hebat di Bahagian Mukah. Beliau adalah anak didik Jamal Wasli, bekas pemain Sarawak era 80-an.
Setelah beraksi cemerlang bersama skuad MyTeam Mukah, bimbingan Jamal Wasli dan skuad Piala Sarawak Mukah, Budak dipilih menyertai skuad Piala Belia Sarawak 2018, dan kemudiannya menyertai skuad Presiden Kuching FA musim lalu.
Musim ini, beliau ‘dinaik taraf’ sebagai pemain skuad senior, Kuching City FC.
“Saya cukup gembira dan teruja apabila dipilih untuk menyarung jersi pasukan utama Kuching City FC,” kata Budak.
“Saya akan cuba memberikan persembahan terbaik sebagai membalas kepercayaan pihak pengurusan.
“Saya akui, bukan mudah untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun tiada yang mustahil untuk dilakukan,” ujar Budak.
Yang pasti, Budak cukup beruntung kerana mendapat didikan daipada jurulatih berpengalaman luas, Irfan Baki Abu Salim, di samping menimba pengalaman daripada pemain senior ternama seperti Joseph Kallang Tie, Hairol Mokhtar, Ramesh Lai Ban Huat dan Dzulazlan Ibrahim.
Pemain dari Mukah yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia sebelum ini (bersama pasukan senior Sarawak) ialah Akhbar Bedol, Jamal Wasli, Awang Razak Awang Wasli, Peter Kusai, Stanley Farzier @ Azley Abdullah, Khalid Zaini, Aidil Mohamad, Awang Izuan dan Sufizal Ismail.
KENALI BUDAK
NAMA PENUH: Daineleffino Aiho
UMUR: 21 Tahun
POSISI: Tengah
TARIKH LAHIR: 9 Ogos 1999
ASAL: Kampung Petanak, Mukah
TINGGI: 157 sm (5 kaki 1 inci)
ADIK-BERADIK: Lima orang (anak bongsu)
PENGALAMAN: Skuad MyTeam Mukah, skuad Piala Sarawak Mukah, skuad Piala Belia Sarawak 2018 dan skuad Piala Presiden Kuching FA 2020.

Jurulatih baharu Sarawak United FC
KUCHING: Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais memberi bayangan