Liga Malaysia: Inilah barisan kita

PEMANGKU jurulatih Sarawak, Mohamad Denny Da’ail menjelaskan beberapa pemain muda telah menunjukkan peningkatan ketara sepanjang saingan Liga Premier 2019.

Walaupun berada di tangga tercorot dan terpaksa mengharungi aksi play-off untuk kekal dalam Liga Premier, tetapi Denny tetap positif.

“Inilah skuad masa depan Sarawak… saya berharap pemain-pemain muda berbakat ini kekal dalam pasukan,” jelasnya.

Malah menurut Denny, terdapat beberapa pemain muda yang lebih bagus daripada pemain import asing.

Ketika pramusim Disember lalu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil langkah drastik dengan membentuk barisan muda. Hanya segelintir pemain senior diserapkan.

Pada masa yang sama sekitar lapan pemain utama skuad 2018 menyertai pasukan Kuching FA dalam Liga M3. Malah bekas pemain Malaysia, Joseph Kallang Tie turut menyertai Kuching FA.

Oleh itu, skuad Sarawak 2019 bagaikan hilang nakhoda, beraksi tanpa watak penting tempatan, seperti Hairol Mokhtar, Mazwandi Zakeria mahupun Joseph.

Bagaimanapun, tindakan FAS menaruh harapan kepada sebahagian besar tenaga muda tempatan dan tanpa import dari Semenanjung ada baiknya… cuma gagal dari segi pencapaian.

Ini kerana hasrat untuk berada di pertengahan liga tidak kesampaian, setelah ditimpa kekalahan demi kekalahan.

Namun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila turun dengan barisan mentah dan tidak stabil. Tambahan pula, import asing yang diambil kurang kualiti.

Walau apa pun generasi pemain muda 2019 perlu diberi peluang untuk terus berkhidmat pada 2020. Jika tidak, adalah satu kerugian memberi pendedah kepada mereka.

Suara Sarawak