LIGA MALAYSIA: Irfan lega, Rafiq dan Badrul cergas

PENGENDALI Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim lega setelah dua pemain baharu, Mohammad Rafiq Shah Mohammad Zaim dan Badrul Amin Hamid cergas dan boleh menyertai rakan-rakan yang lain berlatih.

Kedua-duanya telah pun menjalani latihan secara sendirian sejak seminggu yang lalu.

“Mereka sudah dapat menyertai kem latihan penuh sejak Isnin lalu.

“Ia memudahkan tugas saya untuk merangka perancangan pasukan,” ujar Irfan.

Menurut Irfan, tidak ada banyak masalah bagi kedua-dua pemain ini untuk menyesuaikan diri bersama-sama pemain lain.

RAFIQ MOHAMMAD

Rafiq, 26, yang beraksi di posisi pertahanan, merupakan pemain yang berasal dari Selangor dan pernah menyertai saingan Liga Super pada 2014 hingga 2018 bersama Sime Darby dan Felda United.

Manakala Badrul, 22, yang berasal dari Terengganu akan beraksi di bahagian sayap.

Menurut Irfan kedua-dua pemain ini mempunyai kelebihan dari segi kepantasan, mahupun pengalaman.

“Kehadiran mereka akan merancakkan persaingan dalam kalangan pemain, dan ia merupakan petanda positif untuk membentuk pasukan mantap,” katanya.

Irfan menjelaskan bahawa buat masa ini, beliau belum ada bayangan kesebelasan utama.

Sementara itu, skuad Kuching City dijangka akan berangkat ke Johor pada 7 Februari ini untuk sesi latihan fasa ketiga, dan dijangka akan ‘berkampung’ di Johor.

Namun ia bergantung kepada situasi semasa Covid-19.

BADRUL AMIN