KUCHING: Kelab yang semakin digeruni kredibiliti mereka, Al-Quthuz FC siap sedia untuk mengharungi gelora sebenar Liga Piala PSRC 2025 yang dijadual bermula 25 Julai ini dengan sasaran cuba untuk layak ke pentas final.
Presiden Al-Quthuz FC, Sayed Habib Ahmad Sayed Hossain memberitahu, mungkin agak terlalu awal sasaran tersebut dalam radar pihaknya meskipun tidak mengetahui kekuatan pasukan lain yang turut serta.
Namun, Habib yakin dengan kemampuan barisan pemain yang dipertaruhkan pihaknya pada kejohanan terbabit berupaya memberikan aksi terbaik sepanjang liga berkenaan berlangsung.
“Sasaran kita cuba layak ke pentas final, memang bukan suatu perjalanan yang mudah mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi daripada pasukan yang lain.
“Diharapkan pemain yang diberi kepercayaan beraksi dalam kejohanan ini dapat fokus dengan menampilkan aksi terbaik masing-masing,” ujar Habib kepada Arena Suara Sarawak.
Al-Quthuz FC pada penampilan liga ini diperkuatkan beberapa nama besar seperti Mohd. Hairol Mokhtar, Nor Azizi Ramlee, Abdul Rahim Abdul Razak, Mohd. Badrul Hisham Mohd. Hussien dan ramai lagi pemain muda.
Liga Piala PSRC 2025 diadakan di Padang Sontegik Permai, Sibu menyediakan hadiah lumayan.
Pasukan yang berjaya muncul juara akan menerima wang tunai RM6,000 beserta dan pingat.
Naib juara menerima wang tunai RM4,000 selain piala dan pingat.
Tempat ketiga pula menerima wang tunai RM2,000, piala dan pingat.
Berbanding wang tunai RM1,000 dan pingat untuk pasukan yang menduduki tempat keempat.




