KUCHING: Persatuan Kuil Sri Maha Mariamman Kuching memerlukan kira-kira RM3.5 juta bagi membina kemudahan tambahan selepas projek pembinaan semula kuil utama di Jalan Rock, di sini, disiapkan dengan kos mencecah RM6 juta.
Presidennya, Datuk Shankar Ram Asnani berkata, peruntukan itu diperlukan untuk membina dewan serbaguna, dapur, tandas, pejabat dan kediaman pendeta di atas sebidang tanah yang diberikan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, kemudahan berkenaan penting bagi melengkapkan prasarana kuil, khususnya untuk kegunaan penganut Hindu dan pengunjung yang menghadiri upacara keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan.

Mengulas lanjut, Shankar berkata, projek pembinaan semula kuil itu bermula pada 2019 dengan anggaran kos awal RM3.5 juta sebelum meningkat kepada RM5.5 juta hingga RM6 juta berikutan pertambahan perbelanjaan bagi kelengkapan dan keperluan upacara keagamaan.
Katanya, peningkatan kos itu antara lain melibatkan pembelian arca dewa-dewi daripada granit, barangan gangsa serta pelbagai kelengkapan khas yang dibawa masuk dari India.
“Selain itu, pihak pengurusan turut mendapatkan khidmat pendeta dari kuil terkemuka di India bagi memastikan upacara keagamaan dilaksanakan mengikut ketetapan agama Hindu,” katanya.

Projek itu melibatkan perobohan keseluruhan bangunan kuil lama sebelum pembinaan semula dilaksanakan dari peringkat awal mengikut spesifikasi seni bina dan ketetapan agama Hindu.
Menurutnya, pembinaan sesebuah kuil memerlukan penelitian terhadap pelbagai aspek, termasuk arah kedudukan bangunan, keluasan tanah, ketinggian struktur serta reka bentuk Raja Gopuram, iaitu menara utama kuil.
Shankar berkata, kerja pembinaan utama dilaksanakan kontraktor tempatan manakala kerja pertukangan seni dan ukiran khas dikendalikan tenaga mahir dari India.
Menurutnya, sekiranya kuil dengan reka bentuk dan spesifikasi sama dibina pada masa ini, kos pembinaannya dianggarkan mencecah sekurang-kurangnya RM10 juta.
Dalam pada itu, beliau berkata, keunikan seni bina kuil berkenaan turut menarik perhatian pengunjung dari luar Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas sokongan kewangan menerusi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang membantu merealisasikan projek pembinaan semula rumah ibadat itu.
Sementara itu, Upacara Maha Kumbhabhishegam yang berlangsung hari ini menandakan penyempurnaan pembinaan semula kuil utama selepas melalui proses pembangunan selama beberapa tahun.
Upacara itu melibatkan bacaan doa, mantera dan ritual penyucian oleh pendeta dari India mengikut tradisi agama Hindu.
Sambutan selama empat hari yang bermula 27 Oktober lalu turut melibatkan perarakan kereta berhias dari Kuil Sri Srinivasagar di Jalan Ban Hock menuju ke Kuil Sri Maha Mariamman.






