KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menyifatkan Dana Inovasi Media 2.0 sebagai bukti komitmen kerajaan membantu syarikat media tempatan bertahan tanpa memberhentikan kakitangan.
Beliau menegaskan dana itu ialah pelaburan strategik untuk menjamin masa depan kewartawanan negara, sekali gus membolehkan organisasi media memperkukuh teknologi dan bakat tanpa menjejaskan etika, integriti serta kebebasan kewartawanan.
Bernama berhasrat memohon dana itu bagi membeli peralatan baharu untuk kesemua 14 biro di seluruh Malaysia, selaras dengan usaha memperkukuh bilik berita berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, Nur-ul Afida mengalu-alukan segmen baharu langganan perkhidmatan berita dan kandungan media, yang diperkenalkan berdasarkan maklum balas syarikat media semasa Dialog Media anjuran Majlis Media Malaysia (MMM) pada Jun lepas seperti dilapor Bernama.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi dana itu, dengan permohonan dibuka hingga 14 Nov menerusi laman sesawang rasmi dan penerima disyaratkan tidak memberhentikan pekerja sewenang-wenangnya.





