KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui barisan pemainnya siap siaga untuk berdepan Kelantan The Real Warrior FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam esok (Sabtu).
Pasukan turun dengan satu misi iaitu cuba mencatat kemenangan pertama yang menjurus kepada perolehan tiga mata berharga.
“Perlawanan pertama malam esok amat penting untuk kita meraih kemenangan yang sekali gus dapat menyumbang kepada perolehan tiga mata.
“Saya berharap pemain dapat beraksi dengan baik mengikut strategi yang akan diguna pakai,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Aidil, beliau melihat tidak ada jalan mudah buat barisan pemain yang akan diturunkan beliau pada perlawanan malam esok untuk merealisasikan keinginan tersebut.
Apatah lagi dalam keadaan mereka tidak mengetahui kekuatan pasukan lawan.
Namun katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri yang turut mendapat sokongan padu penyokong setia harus dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita menghormati pasukan lawan dan ingatan saya kepada pemain jangan terlalu mengambil mudah keupayaan pemain lawan kerana dalam situasi mengharungi perlawanan pertama semua pasukan akan bermain dengan bersungguh-sungguh,” jelas Aidil.
Pengemudi kelahiran Singapura itu akan menurunkan barisan kesebelasan terbaik untuk perlawanan pertama pasukannya malam esok.

