KUCHING: Ketua jurulatih Kuching, Nizam Mahmud@Digun menjangkakan pertembungan sengit bakal dilalui anak buahnya pada aksi separuh akhir pertama kempen Liga Premier Sarawak 2025/2026 menentang Bintulu di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada Sabtu ini.
Menurut beliau, walaupun pasukannya memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, ia bukan jaminan untuk mereka tampil selesa memandangkan skuad Bintulu diperkuatkan oleh barisan pemain berpengalaman.
Justeru, beliau menegaskan corak permainan yang bakal dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan pastinya berbeza dan mencabar.

“Kita percaya pertembungan sengit bakal dilalui pemain untuk aksi separuh akhir pertama Sabtu ini.
“Walaupun bermain di tempat sendiri, ironinya kami tetap menghormati pasukan lawan,” ujar Digun kepada Arena Suara Sarawak.
Seperkara yang menarik, kedua-dua pasukan memegang rekod cemerlang tanpa kalah sepanjang saingan peringkat kumpulan sebelum ini.
Dalam pada itu, Digun mengakui tempoh rehat selama seminggu telah digunakan sebaik mungkin bagi memantapkan pasukan dan memperbaiki kelemahan sedia ada.
“Pemain kini kembali fokus kepada latihan seperti biasa. Pada masa sama, saya turut memperbaiki kelemahan yang ada,” jelas Digun lagi.



