MIRI: Pusingan kedua kempen Liga Premier Sarawak 2025 bagi zon utara bermula Sabtu ini (25 Oktober).
Ia sekali gus menjadi laluan buat skuad Miri untuk kembali fokus bagi pemburuan tiga mata mutlak.
Skuad Miri akan menentang Kapit di laman sendiri (Stadium Miri) bagi aksi pertama pusingan kedua kempen tersebut.
Pengurus pasukan, Ahmad Mujahid Ahmad Najib memberitahu, pemain kini kembali fokus untuk memburu tiga mata berharga.
“Pemain sudah melupakan episod kekalahan yang dialami hujung minggu lalu.

“Fokus kami untuk perlawanan menentang Kapit Sabtu ini, mahu memastikan kemenangan dapat diperoleh,” ujar Mujahid kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, kelebihan beraksi di laman sendiri harus dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk mencetak keputusan positif.
Pasukan Miri untuk perlawanan pusingan pertama pada 20 September lalu berjaya menewaskan Kapit di Kompleks Sukan Kapit dengan jaringan (3-0).
Justeru Mujahid berharap barisan dapat mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan tersebut.
Dalam pada itu, Mujahid menyeru warga Miri hadir beramai-ramai ke Stadium Miri untuk memberi sokongan kepada pemain.
Skuad Miri selepas mengharungi lima perlawanan berada di kedudukan kedua, mengumpul 12 mata.






