KOTA SAMARAHAN: Skuad Samarahan akan cuba memanfaat kelebihan beraksi di laman sendiri untuk beroleh kemenangan menjelang perlawanan menentang PDRM di Stadium Terbuka Kota Samarahan Sabtu ini (8 November).

Presiden Persatuan Bola Sepak Samarahan (PBBS), Mohamad Azri Johari optimis barisan pemain dapat mencetak kemenangan diinginkan hujung minggu ini.
Dengan mengharap pemain dapat menterjemah strategi yang akan diguna pakai untuk aksi pertama pusingan kedua itu kelak.
“Misi kita untuk perlawanan menentang PDRM Sabtu ini mahu diterjemah kepada kemenangan yang sekali gus dapat menyumbang perolehan tiga mata mutlak,” ujar Mohamad Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya barisan pemainnya mengetahui betapa penting untuk mereka mencetak kemenangan pada perlawanan itu nanti.
Dengan kata lain, sekiranya tiga mata dihajati dapat diraih, maka ia akan mencetus tekanan kepada dua pesaing terdekat iaitu Serian yang masih gah di tangga teratas (16 mata) dan Kuching di kedudukan kedua (14 mata).
Samarahan kini berada di kedudukan ketiga dengan 13 mata.



