KOTA SAMARAHAN: Kempen Liga Samarahan 2026 bakal melabuhkan tirainya hujung minggu ini.
Empat perlawanan dijadual berlangsung membabitkan kesemua enam pasukan terlibat.
Dua perlawanan dijadual berlangsung esok (Sabtu) melibatkan pertembungan antara D’Cederio FC menentang Tambirat Academy (2:00 petang) dan Sambir Bistari menentang GEN16 (3:30 petang).
Sementara itu, dua lagi perlawanan akan berlangsung pada Ahad membabitkan Gedong Unity menentang LPFC (2:00 petang) dan D’Cederio FC menentang GEN16 (3:30 petang).
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Amry Haji Sapiee memberitahu, kesemua perlawanan akan berlangsung di padang sintetik UNIMAS, Kota Samarahan.
“Kita menjangkakan perlawanan yang cukup menarik dan sengit untuk dua hari ini.
“Fokus pasukan yang akan beraksi untuk cuba meraih kemenangan bagi menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik.
“Sekali gus layak secara automatik berentap bagi merebut Piala Presiden PBBS yang akan berlangsung pada 11 Julai ini,” ujar Amry kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Amry, perkara yang paling menarik ialah keputusan pada setiap perlawanan dua hari ini bakal menentukan secara rasmi pasukan yang akan dinobatkan selaku juara musim ini.
Tambah beliau, secara dasarnya orang umum sudah mengetahui pasukan yang bakal dinobatkan sebagai juara kali ini.
Bagaimanapun ujarnya, biarlah sama-sama kita nantikan detik bersejarah ini.



