KOTA SAMARAHAN: Gergasi yang begitu digeruni kredibiliti mereka, Gedong Unity siap sedia berdepan Tambirat Academy pada aksi kedua kempen Liga Samarahan 2026 di padang sintetik UNIMAS petang esok (Sabtu).
Turun dengan misi mahu mencetak kemenangan sekali gus menghakis musibah kekalahan (2-1) dialami pada aksi buka tirai menentang GEN16 minggu lepas.
Ketua jurulatih, Rozaini Romainor menegaskan, fokus pemainnya untuk perlawanan petang esok hanya satu iaitu memastikan kemenangan dapat diperoleh.
“Saya percaya pemain siap siaga untuk merealisasi misi tersebut,” ujar Rozaini kepada Arena Suara Sarawak.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan pemainnya agar tidak mengambil mudah perlawanan petang esok.
Dengan kata lain, pasukan lawan juga mempunyai misi yang sama dan pasti tekanan akan dilalui para pemain.
“Saya ingatkan pemain, sentiasa berwaspada. Elak melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah,” tambah Rozaini.

