KOTA SAMARAHAN: LPFC berjaya meraih kemenangan pertama selepas menewaskan D’ Cederio FC 4-3 pada perlawanan Liga Samarahan 2026 yang berlangsung di Padang Sintetik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), semalam.
Kemenangan itu menyaksikan skuad yang dibarisi beberapa bekas pemain Kuching City FC membawa pulang tiga mata penuh.

“Tiga mata yang amat berharga bagi kami hasil kemenangan yang diperoleh pemain semalam,” ujar Pengurus LPFC, Mohamad Azlan Sebi.
Azlan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pemainnya atas semangat juang, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan sepanjang perlawanan.
“Walaupun berjaya meraih tiga mata, keputusan ini menunjukkan masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dari segi disiplin permainan, komunikasi dan penyudah,” tambahnya.
Beliau mahu pemain menjadikan kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk terus fokus dan meningkatkan prestasi bagi menghadapi perlawanan akan datang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemain agar tidak cepat berpuas hati, sebaliknya terus mengekalkan fokus, merendah diri dan bersemangat dalam setiap perlawanan.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, pasukan GEN16 turut mencatat kemenangan apabila berjaya meraih tiga mata penuh hasil kemenangan tipis 2-1 ke atas Gedong Unity.


