KOTA SAMARAHAN: Presiden Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB), Penghulu Jalek Jaafar menzahirkan rasa lega ekoran kejayaan beroleh satu mata berharga selepas pasukannya mencatat keputusan seri (1-1) menentang Gedong Unity di padang sintetik UNIMAS, petang tadi.
Bintang sensasi, Mohd. Azam Nasrullah muncul wira Sambir Bistari apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-75. Gedong Unity terdahulu mengemudi pentas saingan menerusi gol dijaringkan Ahmad Aiman Jamhee pada minit ke-70.
“Syukur kita berjaya beroleh satu mata penting selepas sekadar seri (1-1) menentang Gedong Unity sebentar tadi.
“Tahniah kepada pemain, walaupun sedikit tertekan selepas lawan mendahului pada satu ketika. Namun, mereka berjaya bangkit untuk mengikat kedudukan menjadi (1-1) hingga ke penghujung saingan,” ujar Jalek.
Beliau akui ketiadaan enam tonggak utama ekoran komitmen yang tidak dapat dielakkan dilihat membatas perjalanan pasukannya untuk cuba mencetak kemenangan.
Pemainnya mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol, tetapi gagal diterjemahkan dengan sempurna.
“Kita melihat masalah berkenaan dengan serius dan saya percaya pengemudi pasukan (Rafiezan Razali) pasti mempunyai ramuan tersendiri untuk mengatasinya,” tambah Jalek.

