SARIKEI: Perkhabaran gembira buat peminat bola sepak khususnya di Bahagian Sarikei apabila kejohanan berprestij Liga Sarikei 2026 dijangka bermula Mei depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei, Khairulddin Qalam Daud berkata pihaknya masih belum menetapkan tarikh bermulanya saingan berprestij itu.
Katanya, saingan tersebut dijangka bermula Mei depan atau selewat-lewatnya awal Jun.
“Kita akan mengadakan mesyuarat dengan barisan exco dalam masa terdekat bagi membincangkan pelbagai perkara termasuk penganjuran Liga Sarikei 2026.
“Selepas itu, tarikh sebenar permulaan saingan akan dimaklumkan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau berkata penganjuran liga itu dijangka signifikan kerana bukan sahaja mengembalikan kemeriahan dalam kalangan warga Sarikei, khususnya peminat bola sepak.
Selain itu, liga berkenaan dilihat sebagai medan memberi peluang kepada pemain daripada pelbagai peringkat umur untuk turut serta.
Ia juga memberi peluang kepada badan induk mengenal pasti pemain berbakat untuk menyarung jersi skuad Sarikei ke pentas Liga Premier Sarawak 2026.
“Kita percaya ramai kelab dan pasukan bukan sahaja dari Sarikei malah daerah berhampiran akan turut serta,” tambahnya.



