KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, menyatakan bahawa mereka tidak mengambil mudah perlawanan menentang Kelantan Darul Naim di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, Kelantan pada malam esok.
Menurutnya, meskipun prestasi pasukan tuan rumah kini kurang memuaskan dan berada di tempat tercorot, pasukan Kuching City FC tetap menghormati mereka.
Keadaan itu bukan gambaran jelas bahawa jalan mudah tersedia buat barisan kesebelasan Kuching City yang akan dipertaruhkan oleh jurulatih dari Singapura itu untuk mencetak kemenangan.
Sebaliknya Aidil, yang dibuai rasa gundah, percaya Kelantan Darul Naim mampu melakukan kejutan luar jangkaan.
“Kita tahu Kelantan Darul Naim dibarisi ramai pemain muda.
“Mungkin mereka sudah mempunyai strategi terbaik untuk diguna pakai menghadapi Kuching City malam esok,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Apa pun, kata Aidil, kem kendaliannya ketika ini sudah siap sedia untuk menghadapi gelora sebenar perlawanan pada malam esok.



