KUCHING: Skuad Kuching City tekad memberikan saingan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.
Meskipun turun dengan misi membawa pulang mata dari gelanggang lawan, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak sedar tugas mencabar menanti barisan kendaliannya dalam aksi tersebut.
“JDT merupakan pasukan paling dominan dalam saingan Liga Super ketika ini dan memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi, selain diperkuatkan barisan pemain berkualiti serta berpengalaman.
“Namun yang pasti, kami akan cuba memberikan tentangan dan mempamerkan aksi terbaik sepanjang perlawanan,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Mengulas lanjut, Aidil menegaskan tiada perkara yang mustahil dalam bola sepak dan beliau berharap agar para pemain dapat beraksi mengikut pelan taktikal yang telah dirancang.
Beliau menambah bahawa moral pemain sentiasa berada pada tahap terbaik pada setiap perlawanan, termasuklah bagi menghadapi tentangan JDT malam esok.
Aidil dijangka mempertaruhkan barisan kesebelasan utama bagi mengimbangi asakan pasukan lawan sepanjang 90 minit permainan.
“Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik malam esok bagi mengimbangi tekanan pasukan tuan rumah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pemain agar kekal fokus sepanjang tempoh permainan serta mengelakkan kesilapan mudah yang boleh mengundang padah.
Kuching City kini menghuni tangga ketiga liga dengan kutipan 28 mata, manakala JDT kekal menerajui persaingan di kedudukan teratas dengan 42 mata.



