KUCHING: Lima cef muda Fifty8 Cafe mengharumkan nama Sarawak apabila meraih dua pingat emas, tiga perak dan Anugerah Emas Cemerlang pada Piala Dunia Kulinari Borneo (BCWC) 2026.
Muhammad Husaini Morni menjadi antara penyumbang utama kejayaan pasukan selepas meraih pingat emas dan Anugerah Emas Cemerlang dalam Kategori Ayam Profesional.
Pengiktirafan diberikan berdasarkan ketelitian teknik, kemahiran serta kecemerlangan keseluruhan persembahannya.
Mohammad Fakhri Khairullah Jabri turut meraih pingat emas dalam Kategori Ikan dan Makanan Laut Profesional menerusi persembahan yang menyerlahkan teknik, inovasi dan kreativiti.
Tiga lagi cef menyumbang pingat perak, masing-masing Nur Ain Hasnida Samara dalam Kategori Masakan Rendang Warisan Melayu Profesional, Nur Erinna Syafika Sulaiman dalam Kategori Kerabu dan Umai Profesional serta Aina Syazana Haziqah Emran dalam Kategori Pameran Enam Jenis Kuih Malaysia/Borneo Profesional.
Pengarah Fifty8 Cafe Kuching, Bong Sik Soon dan Gan Swee Fong, bersama Cef Jordan Wee, Cef Alvin Chin serta Ketua Tukang Masak, Cef Nicholas Angkie, menyifatkan pencapaian itu sebagai satu kebanggaan.
Menurut mereka, kejayaan berkenaan mencerminkan dedikasi, disiplin dan semangat tinggi yang dimiliki cef-cef muda berkenaan.
“Kejayaan mereka di BCWC 2026 bukan sahaja menjadi kebanggaan Fifty8 Cafe, malah turut mengharumkan nama Kuching dan Sarawak dalam industri kulinari,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Mereka turut berharap pencapaian itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai bakat muda untuk mengejar kecemerlangan selain memelihara dan mengangkat warisan kulinari Sarawak serta Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pihak pengurusan Fifty8 Cafe merakamkan penghargaan kepada penganjur BCWC 2026, mentor, rakan kerjasama, penyokong, ahli keluarga serta semua pihak yang membantu persiapan dan kejayaan pasukan berkenaan.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan Fifty8 Cafe melahirkan bakat kulinari muda berdaya saing di samping menggalakkan inovasi serta memartabatkan warisan gastronomi Malaysia.
“Fifty8 Cafe akan terus komited membangunkan generasi baharu cef profesional serta menyediakan platform untuk mereka mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.



