MARUDI: Dari kejauhan, penduduk di sekitar Long Lellang hanya mampu menjerit cemas apabila melihat sebuah helikopter yang membawa khidmat perubatan ke kawasan pedalaman dipercayai terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, petang semalam.
Dalam sekelip mata, suasana bertukar panik, manakala persoalan mengenai nasib individu yang berada di dalam pesawat berkenaan menjadi kebimbangan penduduk yang menyaksikan kejadian itu.
Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) terbabit sepatutnya membawa khidmat kesihatan kepada masyarakat pedalaman yang menanti, namun penerbangan berkenaan berakhir dengan tragedi.




Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan helikopter berkenaan sedang menjalankan misi membawa khidmat perubatan kepada masyarakat pedalaman apabila dilaporkan terhempas kira-kira jam 3.40 petang.
“Helikopter jenis BO-105 milik Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd dengan nombor pendaftaran 9M-LLF dan tanda panggilan Medic 3 itu membawa lima individu termasuk juruterbang,” menurut kenyataan CAAM.
Berdasarkan maklumat awal, lima individu yang dipercayai berada dalam helikopter berkenaan ialah Captain Zainol, Dr Ainul, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.
Bagaimanapun, status dan keadaan kesemua individu terbabit masih belum diketahui, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dijalankan bagi mengesan mereka.
Usaha SAR berdepan cabaran berikutan kedudukan Long Lellang yang terpencil, selain akses ke kawasan berkenaan mengambil masa yang panjang.
Namun, bagi operasi ke Long Lellang, pasukan penyelamat masih perlu menempuh perjalanan yang jauh lebih mencabar berikutan kedudukan kawasan berkenaan di pedalaman.
Sementara itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia akan menjalankan siasatan berhubung kejadian mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Setakat laporan ini ditulis pada jam 8 malam, operasi SAR masih dijalankan, manakala pihak berkuasa berkaitan termasuk CAAM dan Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Aeronautikal (ARCC) dijangka memberikan maklumat lanjut berhubung kejadian.
Untuk rekod, PDU merupakan inisiatif penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyediakan rawatan kesihatan primer kepada masyarakat di kawasan pedalaman, khususnya di Sabah, Sarawak serta komuniti Orang Asli di Semenanjung Malaysia.
Perkhidmatan berkenaan mula dilaksanakan pada 1973, khususnya di Sarawak bagi membantu penduduk luar bandar yang berdepan kekangan geografi serta tidak mudah mendapat akses perkhidmatan kesihatan melalui jalan darat atau sungai.

