KUCHING: Lima kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 6 petang hari ini, dengan Serian mencatat bacaan tertinggi iaitu 250.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), kawasan lain yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat ialah Lundu (235), Lubok Antu (234), Sri Aman (223) dan Tebedu (218).
Bacaan IPU antara 201 hingga 300 dikategorikan sebagai sangat tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan serta mengurangkan toleransi terhadap aktiviti fizikal, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru.
Sementara itu, lapan kawasan lain merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu Samarahan (193), Sarikei (193), Kuching (185), Mukah (171), Sibu (166), Kapit (156), Bintulu (158) dan Samalaju (153).
Lima kawasan lagi berada pada tahap sederhana, masing-masing Miri (81), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (82), Limbang (60), Lawas (62) dan Bario (73).
Keadaan itu menunjukkan kualiti udara di beberapa kawasan Sarawak terus membimbangkan, khususnya di bahagian selatan dan kawasan berhampiran sempadan Kalimantan.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar dan mengelakkan aktiviti fizikal lasak ketika kualiti udara semakin merosot.

