BINTANGOR: Polis tidak berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di daerah ini apabila lima lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bintangor dalam tempoh dua hari.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintenden Tansli Merling berkata, serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Task Force IPD Meradong menerusi Ops Tapis Khas yang dijalankan secara berterusan bagi membanteras kegiatan dadah di kawasan berkenaan.
Dalam serbuan pertama pada 30 Oktober lalu sekitar jam 12.10 tengah hari, dua lelaki berusia 39 dan 26 tahun ditahan di sebuah rumah panjang di kawasan Bintangor.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Hasil semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, dalam serbuan kedua pada 31 Oktober sekitar jam 11.40 malam, tiga lagi lelaki berusia 30, 29 dan 24 tahun turut diberkas di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan yang sama.
“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiganya positif bahan terlarang yang sama, manakala salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah,” ujarnya.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama dua tahun jika disabitkan kesalahan.
Tansli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan dadah, sama ada sebagai penagih atau pengedar.
“Polis IPD Meradong akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di seluruh kawasan bagi memastikan gejala dadah dapat dibanteras sepenuhnya.
“Kami menyeru masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan dadah ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.



