BAU: Sebuah rumah yang masih dalam pembinaan di Kampung Segong disalahgunakan sebagai lokasi perjudian apabila lima lelaki ditahan dalam serbuan khas menerusi Op Limau, petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, serbuan yang dijalankan sekitar jam 5 petang itu membongkar kegiatan perjudian jenis Ho Hey How atau Holo yang dipercayai dijalankan secara tertutup bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dengan memanfaatkan keadaan rumah yang belum siap sepenuhnya.
“Pasukan serbuan bertindak hasil risikan sebelum menemui beberapa individu sedang berkumpul di dalam premis berkenaan, lengkap dengan peralatan perjudian serta wang tunai yang dipercayai digunakan untuk pertaruhan.
“Seorang lelaki berusia 36 tahun dikenal pasti sebagai penganjur dan ‘banker’ kegiatan tersebut, manakala empat yang lain disyaki terlibat sebagai pemain serta individu yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Haide, dalam operasi itu polis turut merampas satu set peralatan perjudian termasuk meja bulat, kerusi, kain Ho Hey How, dadu holo serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM1,174 yang dipercayai hasil pertaruhan.
Kesemua tangkapan, katanya, dilaksanakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana individu yang menganjurkan atau terlibat dalam kegiatan perjudian haram.
“Siasatan awal juga mendapati lokasi berkenaan dipilih kerana kedudukannya yang agak tersorok dan jauh dari tumpuan awam, sekali gus menunjukkan taktik sindiket kecil perjudian untuk mengelak penguatkuasaan.
“Kesemua individu yang ditahan telah diserahkan kepada Bahagian Narkotik bagi menjalani ujian saringan air kencing sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan lanjut.
“Pemantauan akan diteruskan, khususnya di kawasan kampung dan tapak pembinaan yang berpotensi disalahgunakan untuk aktiviti jenayah.
“Orang ramai di Kampung Segong dan kawasan sekitar turut diseru agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan demi mengekang kegiatan perjudian haram daripada terus berakar di peringkat komuniti,” katanya.

