Lima lelaki tempatan dicekup terlibat dadah di Asajaya

ASAJAYA: Lima lelaki warga tempatan dipercayai terlibat salah guna dadah ditahan hasil serbuan polis di sebuah rumah Kampung Sadong Jaya Laut, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Hasnir Abdul Hamid berkata serbuan sekitar 12.30 tengah hari itu melibatkan tangkapan lima suspek masing-masing berusia 26 hingga 63 tahun serta rampasan dadah jenis Syabu seberat 37.38 gram.

Menurutnya, kesemua suspek ketika serbuan berada di luar rumah berkenaan sebelum salah seorang daripadanya bertindak membaling sesuatu ke bumbung bangsal rumah sebelah.

“Pemeriksaan ke atas barang tersebut mendapati suspek cuba membuang sebuah bekas yang mengandungi tiga keratan tiub straw berwarna merah berisi dadah jenis Syabu masing-masing seberat 0.29 gram.

“Turut dijumpai sebuah kontena kecil mengandungi 11 tiub straw dan 5 peket plastik berisi Syabu 4.18 gram di luar rumah manakala 32.91 gram ditemui cuba disembunyikan di tepi pintu kediaman tersebut,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada lima suspek berusia 30 tahun positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Dedah beliau, tiga daripada suspek pernah ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 melalui semakan rekod masa lampau.

Sementara itu, jelas Hasnir kesemua suspek yang dalam proses permohonan reman telah dihantar ke pejabat BSJND Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih atas kerjasama daripada pihak awam yang banyak membantu menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan dadah di negeri ini.

Suara Sarawak