KUCHING: Lima pahlawan kelahiran Sarawak yang pernah mempertaruhkan nyawa ketika berdepan ancaman keselamatan negara terus menjadi simbol keberanian dan pengorbanan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) merentas generasi.
Mereka ialah CP (B) Datuk Mancha Ata, SI (B) Mohamad Salim, mendiang ASP (B) Wilfred Gomez Malong, mendiang SI (B) Ngalinuh Bala @ Kilah Atu dan mendiang Koperal (B) Etim Jam yang masing-masing mempunyai kisah kepahlawanan tersendiri ketika berdepan ancaman pengganas bersenjata.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Komisioner Polis Datuk Noor Hisam Nordin, berkata Program Jelajah Wira MADANI merupakan manifestasi penghargaan dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan menerusi gagasan Malaysia MADANI dengan jasa, pengorbanan serta kebajikan warga PDRM.
Beliau berkata, program berkenaan bukan sekadar acara, sebaliknya menjadi medium untuk mendekati warga pasukan, memahami keperluan mereka serta memperkukuh aspek kebajikan dan moral.
“Usaha ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat sentiasa berada pada tahap optimum, selain memperkukuh Esprit de Corps atau semangat kebersamaan dalam kalangan warga PDRM yang masih berkhidmat, pesara, veteran dan masyarakat.
“Aspek kebajikan sentiasa menjadi antara keutamaan kepimpinan PDRM,” katanya pada Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Sarawak 2026 yang berlangsung di Wisma Sabati, Jalan Bako, Petra Jaya di sini malam tadi.
Beliau berkata bantuan kebajikan disampaikan secara terus kepada kumpulan sasar yang memerlukan dalam kalangan warga pasukan dan keluarga besar PDRM, termasuk balu polis, anak yatim, anak istimewa, golongan asnaf serta pesara polis yang uzur.
Katanya, sumbangan ini mungkin tidak mampu membalas sepenuhnya segala jasa dan pengorbanan mereka, namun membawa mesej bahawa PDRM sentiasa mengambil berat serta tidak pernah melupakan keluarga dan veteran pasukan.
Dalam pada itu,Noor Hisam menegaskan keselamatan bukan tanggungjawab polis semata-mata sebaliknya memerlukan pelibatan dan kerjasama seluruh masyarakat.
Beliau mengajak komuniti setempat memanfaatkan pengisian sepanjang program, termasuk kaunter perkhidmatan, pameran aset dan kemudahan saringan kesihatan bagi membolehkan masyarakat mengenali PDRM dengan lebih dekat.
Beliau turut menyeru supaya semangat Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada terus diterjemahkan melalui kerjasama kepolisan komuniti, khususnya dalam usaha mencegah jenayah, menangani permasalahan dadah dan membendung isu yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, keharmonian masyarakat Sarawak yang berbilang etnik juga perlu terus dipelihara sebagai kekuatan bersama kerana persekitaran sosial yang harmoni menjadi pemangkin kepada keselamatan yang kondusif dan pembangunan negara yang berterusan.
Hadir sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah.



