BINTULU: Lima premis makanan di sekitar Bintulu diarahkan tutup sementara selepas gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 23(1), Ordinan Perlindungan Kesihatan Awam 1999.
Arahan penutupan tersebut dikeluarkan susulan pemeriksaan yang dilaksanakan oleh Unit Kawalan Kebersihan dan Keselamatan Makanan, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), sepanjang minggu lalu melibatkan pemeriksaan ke atas 35 premis makanan di sekitar kawasan Bintulu.
Menurut kenyataan BDA, pemeriksaan mendapati lima premis berkenaan telah melanggar syarat kebersihan sehingga menyebabkan kehadiran tikus dan serangga pembawa penyakit, sekali gus mengancam keselamatan pengguna.
Lima premis terbabit masing-masing terdiri daripada dua di pusat bandar Bintulu dan Kidurong, serta sebuah premis makanan di kawasan Nyigu.

“BDA memandang serius isu kebersihan di premis makanan kerana ia melibatkan kesihatan orang awam. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana premis yang didapati melanggar peraturan dan tidak menitikberatkan aspek kebersihan,” jelas kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu lagi, pemeriksaan berkala akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengendali makanan mematuhi garis panduan kesihatan awam yang ditetapkan.
“BDA menyeru semua pengusaha makanan untuk bertanggungjawab dalam memastikan tahap kebersihan premis masing-masing. Penyediaan makanan yang selamat bukan sahaja melindungi pengguna, malah mencerminkan integriti dan profesionalisme pengusaha itu sendiri,” tegasnya.
Orang ramai turut disaran melaporkan sebarang aduan berkaitan kebersihan premis makanan kepada pihak BDA bagi membolehkan tindakan segera diambil.


