ARTIKEL

Wong Soon Mee, wakil Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok menyaksikan penyerahan projek siap. Kelihatan sama, Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrack.

Lima projek RTP 2026 tingkat kemudahan asas di Meradong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Lima projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 yang melibatkan kerja menaik taraf jalan raya dan sistem perparitan diserahkan untuk manfaat penduduk di beberapa kawasan luar bandar di Meradong.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pelaksanaan projek berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memastikan kemudahan asas di kawasan luar bandar terus diperkasa mengikut keperluan rakyat.

Beliau berkata, antara projek yang siap dilaksanakan ialah menaik taraf jalan batu kepada jalan konkrit di Tanah Perkuburan Lotong, Jalan Lai Hing dan Jalan Kai Sian di Sungai Mador.

“Dua lagi projek membabitkan pembinaan sistem perparitan konkrit baharu di Rumah Baling anak Ungong, Bukit Sanggau dan Rumah Panjang Lias, Ulu Stras.

“Jalan raya dan sistem perparitan merupakan kemudahan asas yang amat penting kerana kedua-duanya memberi kesan langsung terhadap kehidupan serta pergerakan harian penduduk.

“Kita mahu masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan yang lebih baik, selesa dan selamat, selain memastikan persekitaran mereka mempunyai sistem saliran yang lebih teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huang berkata, setiap peruntukan pembangunan yang disediakan akan dipantau dan diberi perhatian supaya projek yang dilaksanakan benar-benar menepati keperluan penduduk serta memberikan manfaat berterusan kepada komuniti.

Katanya, kejayaan menyiapkan projek berkenaan juga bergantung kepada kerjasama antara wakil rakyat, agensi pelaksana, kontraktor dan masyarakat setempat bagi memastikan kerja berjalan lancar serta mencapai sasaran ditetapkan.

Beliau menambah, kerajaan akan terus membawa pembangunan infrastruktur ke kawasan luar bandar secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada projek yang mempunyai kepentingan dan impak langsung kepada penduduk.
“Usaha seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa supaya jurang kemudahan antara kawasan bandar dan luar bandar dapat terus dikurangkan,” katanya.

Penyerahan projek berkenaan turut disaksikan Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrack serta Wong Soon Mee, wakil Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU