ARTIKEL

Gambar hiasan

Lima rakan terima padah miliki harta curi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lima rakan sejenayah dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana memiliki harta curi berupa segulung kabel milik syarikat Telekom Malaysia.

Claint Douglas Jerebi, 27, Martin Stahlmann, 33, Mohammad Affendy Ahmad, Muhammad Zulfiqar Khan Hasnin, 26, dan Roberto Rivenerya Chen Ronald, 21, masing-masing mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.

Kelima-lima tertuduh didakwa menyimpan harta curi segulung kabel milik syarikat tersebut di hadapan sebuah rumah di Kampung Agas Baru, Jalan Matang, sekitar jam 5.00 petang pada 3 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Fakta kes mendedahkan bahawa pada 4 Mac lalu, sekitar jam 7.05 petang, pengadu, seorang petugas keselamatan syarikat, sedang membuat rondaan di kawasan kabel Telekom di Jalan Batu Kawa dan mendapati penutup lubang utama telah terbuka.

Pengadu kemudiannya membuat pemeriksaan dan mendapati kabel bersaiz 400 pasang milik syarikat telah dipotong dan dicuri, dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000.

Setelah itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Bertindak atas maklumat orang awam, pada 3 April lepas, sepasukan polis telah menangkap kelima-lima tertuduh kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pencurian kabel.

Barang-barang kes yang dirampas termasuk sebuah kereta jenis Perodua Viva, longgokan penebat kabel bertulis Telekom Malaysia, penebat timah yang dipotong pendek, dua bakul sampah berisi wayar kabel, dua bilah pisau daging, tiga unit pemotong besi, seunit gergaji besi, dua unit gunting paip, tiga set tali, seunit spanar, enam unit alat pengetat tali, seunit playar, seunit spanar pembuka tayar kereta, dan seunit kunci Allen.

Hasil siasatan mendedahkan bahawa kesemua tertuduh telah melakukan kesalahan menyimpan harta curi milik syarikat tersebut.

BERITA LAIN

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan

BERITA TERBARU

Billy Mahu ICQS Biawak Dinaik Taraf

KUCHING: Cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak perlu diberi perhatian bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan