Lima sekolah belajar secara digital

KUCHING: Lima sekolah di kawasan Parlimen Puncak Borneo dipilih untuk melaksanakan program pengajaran dan pembelajaran digital (kaedah pembelajaran dalam talian).

Sekolah tersebut ialah SMK Tarat, SMK Tun Abdul Razak, SMK Padawan, SMK Siburan dan SMK Lake. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin berkata, program melibatkan lima sekolah itu pertama kali dilancarkan di parlimen tersebut.

“Ini sejajar dengan tuntutan kerajaan untuk mengamalkan norma baharu dalam apa-apa jua keadaan termasuk pembelajaran di sekolah.

“Selain itu, usaha ini menyokong dan merancakkan lagi hasrat Kerajaan Sarawak untuk mencapai visi ke arah Sarawak digital,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pembiayaan Program Pengajaran dan Pembelajaran Digital di Pusat Khidmat Parlimen Puncak Borneo, kelmarin.

Ahli Parlimen Puncak Borneo itu berkata, program itu diyakini dapat membantu pelajar kerana sukatan pelajaran 100 peratus mengikut piawaian pembelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Program ini merupakan salah satu lonjakan yang patut dimulakan hari ini kerana seluruh pelosok dunia sedang membincangkan pembelajaran secara digital.

“Pada masa yang sama, pelajar juga dapat meneruskan pembelajaran khasnya semasa penularan Covid-19,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap guru yang dipilih dapat membantu pelajar berjaya dari sudut akademik.

Katanya, peringkat permulaan, sepuluh pelajar dan dua guru dipilih dari setiap lima sekolah untuk melaksanakan program itu yang melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM21,000.

“Dengan adanya dana ini, ia akan memberi suntikan baharu kepada pelajar dan guru untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dalam norma baharu ini.

“Sekiranya program ini berjaya, saya akan memperluaskan sistem ini pada masa hadapan,” tambahnya. Justeru, beliau percaya ia dapat membantu pelajar jika serius untuk berjaya dalam pendidikan.

Suara Sarawak