ARTIKEL

Lima tahun rekod kejayaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KAMI mula menemui pembaca pada 1 Mac 2019. Ketika itu, Suara Sarawak masih muda, serba baharu dan sarat dengan tanda tanya.

Terus terang, tidak ramai yang yakin kami mampu bertahan lama.

Malah, ada yang menjangkakan hayat kami tidak melebihi tiga bulan.

Dalam landskap media yang semakin mencabar, kemunculan sebuah organisasi media baharu sering disambut dengan skeptikal, apatah lagi apabila kami hadir dengan pasukan yang majoritinya terdiri daripada anak muda.

Namun sebagai editor, saya percaya satu perkara, usaha dan kerja keras tidak pernah mengkhianati hasil.

Keyakinan itu bukan lahir daripada keangkuhan, sebaliknya daripada kepercayaan bahawa setiap kerja yang dilakukan dengan jujur, berdisiplin dan penuh tanggungjawab pasti akan menemukan jalannya sendiri.

Saya sendiri menjadi saksi hidup bagaimana Suara Sarawak dibuka dan bagaimana edisi pertama yang terbit pada 1 Mac 2019 lahir dalam serba kekurangan.

Ia bukan permulaan yang mudah atau selesa.

Banyak perkara berlaku di sebalik tabir, hari-hari yang panjang, perbincangan yang berlarutan hingga lewat malam dan keputusan sukar yang terpaksa dibuat dalam keadaan penuh keterbatasan.

Ada masanya kami berdepan kekangan tenaga sehingga seorang wartawan perlu memikul pelbagai peranan serentak. Keraguan itu bukan sahaja datang dari luar malah ada ketika menyelinap ke dalam hati saya sendiri.

Namun setiap kali perasaan itu hadir, saya kembali bertanya, jika bukan sekarang, bila lagi?

Jika bukan kami yang percaya kepada potensi wartawan muda ini, siapa lagi?

Yang membuatkan kami terus bertahan bukan kerana kami hebat, tetapi kerana kami percaya pada proses.

Kami belajar menerima kesilapan sebagai sebahagian daripada pembelajaran dan kegagalan sebagai guru yang paling jujur.

Setiap edisi yang diterbitkan, setiap laporan yang dihantar ke lapangan dan setiap cerita yang disiapkan menjadi latihan membina ketahanan mental dan profesional.

Dalam kekurangan itu, kami belajar menjadi lebih kreatif, lebih peka dan lebih menghargai satu sama lain.

Selain menggantung sepenuh kepercayaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif kami, Datuk Dr Jeniri Amir yang sarat dengan perancangan dan strategi baharu, kepercayaan itu menjadi sumber ilham serta pembakar semangat yang terus menggerakkan kami hingga ke hari ini.

Beliau bukan sekadar menerajui kepimpinan, malah menjadi gedung ilmu yang tidak ternilai seperti sebuah perpustakaan hidup dan rujukan ensiklopedia yang sentiasa kami sandarkan dalam memperkukuh hala tuju serta memperhalusi setiap langkah perjalanan.

Di sebalik semua itu, ada satu perkara yang paling membahagiakan saya sebagai editor — melihat wartawan kami benar-benar menikmati dunia kewartawanan.

Mereka turun ke lapangan bukan kerana terpaksa, tetapi kerana rasa ingin tahu, rasa tanggungjawab dan kepuasan apabila cerita berjaya disampaikan dengan baik.

Dunia kewartawanan bukan sekadar mengejar anugerah atau memenuhi ruang halaman tetapi tentang menikmati proses menceritakannya dengan jujur dan beretika.

Apabila wartawan seronok dengan kerjanya, tulisannya menjadi hidup.

Soalannya lebih tajam, laporannya berjiwa dan ceritanya lebih dekat dengan pembaca.

Kami percaya wartawan yang menikmati profesionnya akan lebih peka, lebih berani dan lebih bertanggungjawab.

Inilah nilai yang kami pupuk di Suara Sarawak bagi melahirkan wartawan yang bukan sahaja cekal dan berdisiplin tetapi bahagia dengan profesion yang mereka pilih.

Titik perubahan mula dirasai pada 2020 apabila wartawan Suara Sarawak mula mencabar diri dengan menghantar artikel dan rencana ke Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2020.

Ketika itu, saya turut dijemput menghadirinya.

Hati saya berdebar-debar menanti pengumuman kerana majoriti wartawan kami terdiri daripada anak muda yang baru menamatkan pengajian, berbanding dua akhbar berbahasa Melayu sedia ada yang sudah lama mendominasi pentas kemenangan.

Malam itu, di Hotel Riverside Kuching, menjadi detik yang sukar dilupakan.

Suara Sarawak memenangi 21 anugerah termasuk Anugerah Ketua Menteri Sarawak, selain menyapu bersih anugerah tempat pertama bagi kategori bahasa Melayu dan bahasa Iban.

Kejayaan itu bukan sekadar angka, tetapi pengiktirafan terhadap keberanian, disiplin dan kesungguhan wartawan muda yang berani mencabar diri.

Tahun demi tahun selepas itu, Suara Sarawak terus mencatat kejayaan sehingga ke malam Ahad lepas apabila kami merekodkan kemenangan keseluruhan sebanyak 159 anugerah.

Hampir setiap tahun, kami menyapu bersih anugerah tempat pertama kategori bahasa Melayu dan bahasa Iban manakala selama empat tahun berturut-turut kami membolot anugerah utama Anugerah Premier Sarawak.

Namun bagi saya, kejayaan sebenar bukan terletak pada jumlah anugerah yang dimenangi tetapi pada keupayaan kami mengekalkan kualiti berita dan rencana yang konsisten, mendalam dan relevan dengan keadaan semasa. Ia bukan kejayaan sekali lalu, sebaliknya kesinambungan usaha, disiplin dan keberanian untuk terus memperbaiki diri.

Anugerah Premier Sarawak membawa makna simbolik yang besar. Ia membuktikan sebuah organisasi media yang pernah diragui kini berdiri sebagai platform yang diiktiraf.

Ia mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa Suara Sarawak bukan sekadar mampu bertahan tetapi mampu memberi kesan dan membentuk wacana.

Hari ini, apabila kami menoleh ke belakang, perjalanan dari 1 Mac 2019 hingga kini bukan tentang membuktikan siapa yang salah meragui kami.

Sebaliknya, ia tentang membuktikan kepada diri sendiri dengan kesungguhan, disiplin dan sikap sentiasa hauskan perubahan, sebuah balai berita mampu berdiri megah.

Dan bagi kami di Suara Sarawak, anugerah bukan noktah.

Ia adalah amanah untuk terus menulis, melapor dan menjadi suara yang dipercayai rakyat Sarawak.

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk