KUCHING: Penyertaan Limbang LusiRun 2026 yang akan berlangsung pada 7 November ini di Lot 777, Limbang, kini dibuka kepada orang ramai sebagai platform menyemarakkan semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat serta memartabatkan warisan etnik Sarawak.
Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS) dalam kenyataannya berkata, acara larian itu dianjurkan buat julung kalinya dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang-Miri (DSLM).
Penganjuran berkenaan mencatat sejarah tersendiri buat PAALS yang berpusat di Kuala Lumpur kerana menjadi program fizikal pertamanya di tanah kelahiran, selain dinaungi Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, bagi mempromosikan industri pelancongan di Bahagian Limbang.
“Limbang LusiRun 2026 turut membawa tema pakaian tradisional etnik Sarawak, dengan peserta digalakkan mempamerkan keunikan budaya tempatan sepanjang acara berlangsung.
“Selain hadiah pertandingan, turut disediakan cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti menarik, termasuk persembahan pentas artis terkenal dan kumpulan kebudayaan tempatan,” tambah kenyataan itu.
Acara berkenaan menawarkan kategori 21 kilometer (km) separuh maraton bagi kategori terbuka, lokal Limbang dan Lawas serta veteran berusia 45 tahun ke atas dengan yuran penyertaan RM120.
Kategori 10km terbuka pula terbuka kepada peserta berusia 16 tahun ke atas dengan yuran RM70, manakala kategori 3km larian santai atau jalan santai dikenakan yuran RM60.
Bagi kategori 21km, pemenang tempat pertama menerima RM1,500, diikuti RM1,000 bagi tempat kedua, RM800 tempat ketiga, RM500 tempat keempat dan RM300 tempat kelima.
Kategori 10km pula menawarkan hadiah RM800 untuk tempat pertama, RM500 tempat kedua, RM300 tempat ketiga, RM200 tempat keempat dan RM150 tempat kelima.
Peserta 3km turut berpeluang menerima hadiah istimewa bagi kategori pakaian bertema terbaik dan semangat kesukanan.
Pendaftaran yang dibuka sejak 13 Julai lalu akan ditutup pada 30 September ini, dengan penganjur menjemput warga tempatan, peserta dari luar negara, peminat larian dan orang awam untuk menyertai acara berkenaan.






