KUCHING: Masyarakat khususnya ibu bapa, institusi pendidikan dan golongan muda perlu memastikan kanak-kanak bawah umur tidak terdedah kepada risiko jenayah seksual yang boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi serta mental mereka.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, jenayah serangan seksual amat membahayakan, lebih-lebih lagi dengan kewujudan media sosial dan aktiviti dalam talian pada masa kini.
Justeru, beliau berkata, ibu bapa perlu lebih peka dan bertanggungjawab dalam memantau pergerakan anak-anak.
“Saya ingin mengingatkan semua ibu bapa, khususnya mereka yang mempunyai anak perempuan remaja pada usia persekolahan sama ada di sekolah rendah atau menengah, agar memainkan peranan sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab.
“Pastikan anak-anak tidak bebas keluar pada waktu malam, terutama bermalam di luar bersama rakan-rakan atau individu yang tidak dikenali,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Stutong, di sini, hari ini.
Beliau merujuk kes jenayah seksual membabitkan seorang remaja perempuan sekolah menengah yang pelakunya telah dibicarakan di mahkamah.
Milton berkata, kes sedemikian boleh memberikan kesan jangka panjang kepada mangsa, termasuk trauma dari segi emosi dan mental, selain menjejaskan keluarga.
Menurutnya, setiap anggota masyarakat mempunyai peranan dalam melindungi golongan muda, khususnya kanak-kanak perempuan daripada sebarang bentuk serangan seksual.
“Oleh itu, kita perlu membina masyarakat yang lebih selamat dan bertanggungjawab. Jika kita melihat sesuatu yang mencurigakan atau keadaan yang tidak kena pada waktu malam, kita perlu mengambil tindakan atau sekurang-kurangnya membantu mendapatkan bantuan.
“Jika ada sesuatu yang dirasakan tidak betul, kita mempunyai peranan untuk bertindak. Kita boleh menyelamatkan nyawa atau masa hadapan seseorang,” tegasnya.
Dalam pada itu, Milton memaklumkan peguam, Joanne Loy akan bertindak secara pro bono sebagai peguam pemerhati bagi membantu mangsa dan keluarga memahami hak serta proses perundangan.
Sementara itu, Joanne berkata kes tersebut wajar dijadikan peringatan bahawa isu jenayah seksual terhadap golongan bawah umur masih memerlukan perhatian dan kerjasama semua pihak.
Menurutnya, pihaknya bersuara bukan sahaja untuk mangsa tetapi juga bagi menggalakkan mangsa lain serta keluarga mereka agar tampil mendapatkan bantuan dan berani bersuara.
“Kami juga ingin menyampaikan mesej yang jelas bahawa setiap pelaku akan menghadapi akibat atas tindakan mereka dan akan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang,” katanya.



