ARTIKEL

SUASANA mengundi di beberapa kawasan. Foto Bernama

Literasi politik asas demokrasi matang

FARIHAN RAZALI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TAHUN 2026 menyaksikan suhu politik negara kembali meningkat.

Beberapa negeri bakal mengadakan pilihan raya negeri (PRN), manakala parti politik pula giat memperkukuh jentera masing-masing bagi menghadapi medan demokrasi yang semakin hampir.

Walaupun tarikh PRN Sarawak masih belum diumumkan, pelbagai pihak sudah mula membuat persiapan, sekali gus menandakan gelanggang politik negeri semakin rancak.

Dalam keghairahan menyaksikan percaturan parti dan kempen yang bakal berlangsung, terdapat satu perkara yang tidak seharusnya dipinggirkan, iaitu tahap literasi politik dalam kalangan belia.

Pilihan raya bukan sekadar menentukan siapa yang menang atau kalah.

Lebih penting daripada itu ialah sejauh mana rakyat, khususnya golongan muda memahami sebab mereka perlu keluar mengundi dan implikasi daripada setiap pilihan yang dibuat.

Hari ini, belia bukan lagi kelompok kecil dalam daftar pemilih. Sebaliknya, mereka merupakan antara kumpulan paling berpengaruh dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Pelaksanaan Undi18 mengubah landskap politik negara apabila jutaan anak muda diberikan hak untuk menentukan kepimpinan negara dan negeri pada usia yang lebih awal.

Hak mengundi itu merupakan satu kepercayaan yang besar. Namun, kepercayaan tersebut hanya akan membawa makna sekiranya disertai dengan ilmu, kefahaman dan tanggungjawab.

Namun, masih terdapat segelintir belia yang melihat politik sekadar persaingan antara parti atau individu.

Ada yang menganggap politik hanya relevan ketika musim pilihan raya sebelum kembali melupakan segala isu sebaik sahaja keputusan diumumkan.

Hakikatnya, politik tidak pernah bercuti kerana keputusannya menentukan dasar pendidikan, peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur, kebajikan rakyat, perumahan, kos sara hidup dan hala tuju ekonomi sesebuah negeri.

Ringkasnya, hampir setiap aspek kehidupan rakyat berkait rapat dengan keputusan politik yang dibuat oleh kerajaan.

Oleh sebab itu, literasi politik dalam kalangan belia perlu diperkasakan.

Timbalan Pengerusi Parti Generasi Rakyat (GENERASI) Sabah merangkap Ahli Parlimen Belia Malaysia, Azmil Dani berpandangan, tahap literasi politik belia semakin menunjukkan perkembangan yang positif.

Semakin ramai anak muda mengambil tahu tentang isu semasa dan tidak lagi bersikap acuh tidak acuh terhadap perkembangan politik.

Namun, menurut beliau, minat sahaja belum mencukupi.

Ramai yang mengetahui sesuatu isu kerana ia tular di media sosial, tetapi tidak semuanya memahami konteks sebenar di sebalik sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.

Fenomena ini semakin ketara dalam era TikTok, Facebook, Instagram dan platform digital lain kerana maklumat bergerak begitu pantas sehingga kadangkala lebih laju daripada proses menyemak kesahihannya.

Satu video berdurasi seminit mampu membentuk persepsi ribuan pengguna, manakala satu kapsyen provokatif pula boleh mencetuskan perdebatan yang tidak berkesudahan.

Lebih membimbangkan, ada yang menjadikan jumlah tontonan, tanda suka atau perkongsian sebagai ukuran kebenaran.

Hakikatnya dalam dunia politik, perkara yang paling penting bukanlah siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang membawa fakta yang benar.

Belia hari ini perlu belajar membezakan antara fakta, pendapat, propaganda dengan persepsi.

Mereka juga perlu berani menyemak maklumat daripada sumber yang sahih sebelum mempercayai atau berkongsi sesuatu berita.

Tidak semua yang tular adalah benar dan tidak semua yang benar akan menjadi tular.

Dalam konteks PRN yang bakal berlangsung di beberapa negeri, kematangan pengundi muda akan menjadi antara penentu utama corak keputusan pilihan raya.

Parti politik mungkin berlumba-lumba menawarkan manifesto terbaik, namun akhirnya rakyat sendiri yang akan menentukan sama ada tawaran tersebut benar-benar realistik atau sekadar janji yang indah didengar.

Di sinilah pentingnya literasi politik kerana belia yang celik politik tidak mudah dipengaruhi sentimen perkauman, fitnah atau serangan peribadi.

Sebaliknya, mereka akan menilai rekod perkhidmatan, dasar yang ditawarkan serta kemampuan seseorang calon menyelesaikan masalah rakyat.

Sarawak juga tidak terkecuali daripada realiti ini.

Sebagai negeri terbesar di Malaysia dengan komposisi masyarakat yang pelbagai, Sarawak memerlukan generasi muda yang bukan sahaja memahami hak mereka sebagai pengundi, malah mampu menilai dasar pembangunan yang memberi manfaat kepada negeri dalam jangka panjang.

Pembangunan ekonomi, pendidikan, kemudahan kesihatan, transformasi digital, tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan luar bandar merupakan antara isu yang memerlukan penelitian mendalam, bukannya penilaian berdasarkan emosi semata-mata.

Dalam pada itu, usaha meningkatkan literasi politik tidak boleh diletakkan di bahu belia semata-mata.

Institusi pendidikan, pertubuhan belia, media, pertubuhan bukan kerajaan serta parti politik sendiri mempunyai tanggungjawab untuk mendidik masyarakat tentang proses demokrasi secara matang.

Politik tidak sepatutnya diajar sebagai ruang permusuhan, sebaliknya sebagai wadah mencari penyelesaian kepada masalah rakyat.

Jika generasi muda hanya didedahkan kepada slogan politik, mereka akan menjadi penyokong.Namun, jika mereka didedahkan kepada ilmu politik, mereka akan menjadi warganegara yang berfikir.

Itulah bezanya antara menjadi pengikut dengan menjadi pemimpin masa hadapan.

Demokrasi yang matang tidak lahir daripada pengundi yang paling lantang bersuara, tetapi daripada pengundi yang paling bijak membuat pilihan.

Oleh itu, dalam era Undi18 dan menjelang musim pilihan raya, literasi politik bukan lagi sekadar satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan penting dalam melahirkan pengundi yang matang, bertanggungjawab dan mampu menentukan masa depan negara serta negeri pada tahun-tahun mendatang.

BERITA LAIN

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat