KUCHING: Tekanan air rendah yang menjejaskan beberapa kawasan di Kuching dan Kota Samarahan baru-baru ini berpunca daripada ribut petir yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Batu Kitang.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata gangguan elektrik itu telah dipulihkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Lembaga Air Kuching (LAK).
“Sebenarnya, berlaku ribut petir pada malam tersebut, dan ‘arrester’ di Loji Rawatan Air Batu Kitang telah disambar petir, menyebabkan seluruh loji tidak dapat berfungsi.
“Akibatnya, tekanan air di kawasan bandar raya Kuching hingga ke Kota Samarahan turut terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Justeru, Julaihi menyifatkan masalah itu sebagai di luar kawalan pihak berkaitan kerana berpunca daripada faktor cuaca.
Bagaimanapun, beliau memuji tindakan pantas SEB dan LAK yang berjaya memulihkan gangguan elektrik di Loji Rawatan Air Batu Kitang dalam tempoh 45 minit.
“Kini, Loji Rawatan Air Batu Kitang telah kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.

