ARTIKEL

Julaihi bersama yang lain meninjau kemajuan terkini Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

Loji Batu Kitang bakal tingkat kapasiti kepada 968 juta liter sehari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerja naik taraf Modul 7 Loji Rawatan Air Batu Kitang kini mencapai kemajuan sebanyak 66.7 peratus dan disasarkan siap pada Disember ini, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat kepada 968 juta liter sehari.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, kerja naik taraf itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan bekalan air bagi Bahagian Kuching dan Samarahan.

“Loji Rawatan Air Batu Kitang kini mempunyai kapasiti pengeluaran 868 juta liter sehari, manakala kerja naik taraf yang bermula pada 3 Oktober 2024 dijangka menambah kapasiti sebanyak 100 juta liter sehari.

“Projek bernilai RM139 juta itu sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka siap seperti yang dirancang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini.

Julaihi bercakap kepada media selepas meninjau Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

Menurutnya, Modul 7 mempunyai lima tangki, dengan tiga daripadanya telah dipasang plat lamela dan beroperasi bagi proses penapisan air.

“Dua lagi tangki juga telah siap dipasang dengan plat lamela dan akan ditauliahkan pada Jumaat ini. Ini bermakna kesemua lima tangki akan beroperasi.

“Bagaimanapun, masih terdapat kerja-kerja lain yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan pengadun baharu dan kemudahan pengambilan air mentah kelima,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata, peningkatan kapasiti itu akan membantu memperkukuh bekalan air di Kuching serta kawasan lebih luas di Bahagian Samarahan termasuk Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau dan Simunjan yang menerima bekalan daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang.

Julaihi bersama yang lain meninjau kemajuan terkini Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa loji rawatan air berskala kecil turut dibangunkan bagi menyokong bekalan daripada Loji Rawatan Air Batu Kitang.

“Ini termasuk loji kecil di Sebuyau berkapasiti 3.2 juta liter sehari serta loji rawatan air baharu di Sebangan berkapasiti lima juta liter sehari yang hampir siap dan dijangka dapat menyokong bekalan menjelang hujung Julai ini,” katanya.

Beliau menambah, sebuah lagi loji rawatan air kecil menggunakan sistem Akut turut diluluskan di Sebuyau dengan kapasiti pengeluaran lima juta liter sehari.

“Kita juga membekalkan air ke sebahagian Bahagian Serian dan baru-baru ini, loji rawatan air kecil di Puncak Borneo berkapasiti enam juta liter sehari telah siap, dengan keupayaan ditingkatkan kepada lapan juta liter sehari,” katanya.

Julaihi bersama yang lain meninjau kemajuan terkini Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan gangguan bekalan air di Kuching dan Samarahan lazimnya berpunca daripada kebocoran paip, khususnya akibat kerja pihak ketiga, dan bukan disebabkan kualiti air yang dihasilkan di loji rawatan.

“Setiap kebocoran boleh menyebabkan tekanan bekalan air terjejas dan air menjadi keruh apabila tanah memasuki sistem paip, sekali gus memerlukan kerja pembilasan bagi memulihkan keadaan sistem.

“Justeru, Sarawak Water bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sentiasa menjalankan kerja pembilasan di seluruh Kuching dan Samarahan apabila insiden sedemikian berlaku bagi memulihkan kualiti air,” katanya.

Beliau berkata, berbeza dengan pembinaan jalan raya, sistem bekalan air hanya boleh beroperasi selepas keseluruhan rangkaian termasuk loji rawatan, kemudahan pengambilan air mentah, sistem paip penghantaran dan agihan, stesen penggalak serta proses ujian dan pentauliahan siap sepenuhnya.

Loji Rawatan Air Batu Kitang. GAMBAR: GHAZALI BUJANG
Julaihi bersama yang lain meninjau kemajuan terkini Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG
Julaihi bersama yang lain meninjau kemajuan terkini Loji Rawatan Air Batu Kitang, di sini, hari ini. GAMBAR: LEVRONE AIGLE

BERITA LAIN

BERITA TERBARU