ARTIKEL

Dato Rolland Duat Jubin melakukan tinjauan ke projek loji air baharu Julau pada Selasa. Foto Pusat Khidmat DUN Meluan

Loji rawatan air baharu Julau bernilai RM25.6 juta siap 95 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Pembinaan loji rawatan air baharu di Julau bernilai RM25.6 juta kini hampir siap sepenuhnya dengan kemajuan fizikal kini mencapai 95 peratus.


ADUN Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, apabila beroperasi kelak, loji tersebut akan menampung keperluan bekalan air bersih bagi kawasan sekitar Pekan Julau dan penempatan berhampiran.


Projek itu katanya, membuktikan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan penyediaan kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat.


“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Jurutera Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Ling Kheng Wei, yang memberikan taklimat berhubung perkembangan terkini projek berkenaan,” katanya selepas melawat tapak projek Loji Air Julau di sini, hari ini.


Terdahulu, Rolland berkesempatan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Daerah (JKBD) di Pejabat Daerah Julau.
Dalam mesyuarat tersebut, beliau menegaskan bahawa setiap jabatan kerajaan perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat serta mempunyai pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan perkhidmatan agensi sentiasa relevan dan berkesan.


Beliau turut menggesa agar semua jabatan menyalurkan maklumat dan maklum balas kepada beliau untuk diteliti serta dibahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dijadualkan berlangsung pada November ini.
Selain itu, beliau menggalakkan setiap agensi untuk berbincang secara langsung sekiranya terdapat perancangan yang memerlukan peruntukan tambahan supaya tindakan susulan dapat diambil dengan segera.


“Kerjasama antara agensi amat penting bagi mengelakkan sebarang tuding jari dan memastikan perkhidmatan awam berjalan lancar demi kepentingan rakyat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU