Loji rawatan air Tatau kini berkapasiti enam juta liter sehari — Stephen Rundi

KUCHING: Rumah panjang di Separai dan Selitut di daerah Tatau mengalami gangguan air yang berpunca daripada kekangan pengeluaran bekalan air dari Loji Rawatan Air Tatau.

Menteri Utiliti, Datuk Sri Stephen Rundi Utom berkata, loji rawatan air itu mengalami kekurangan bekalan ekoran gelombang haba yang melanda Sarawak ketika ini.

“Ini menyebabkan, paras air mentah di muka sauk loji rawatan air itu berada dalam tahap yang kritikal.

“Sebagai langkah segera, pam air mentah yang uzur di loji rawatan air itu diganti dengan pam berkapasiti lebih besar pada hujung minggu ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Rundi menambah, kerja-kerja menaik taraf loji dan pengorekan di muka sauk selesai dilaksanakan dua hari lalu.

 

Keadaan bekalan air di sauk loji rawatan air di Tatau.

“Ini merupakan satu langkah bagi memastikan takungan air mentah adalah mencukupi dalam menghadapi musim panas yang dijangka berlarutan.

“Di samping itu, kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Tatau juga akan dinaik taraf daripada empat juta liter sehari kepada enam juta liter sehari,” jelasnya.

Katanya, projek itu siap baru-baru ini dan kini dalam peringkat “Testing and Commissioning”.

“Sebagai langkah jangka panjang, sebuah loji rawatan air berkapasiti 20 juta liter sehari dirancang untuk dibina bagi memastikan bekalan air disalurkan kepada penduduk di sekitar Sangan, Tatau dan sepanjang Jalan Tatau-Sibu mencukupi.

“Selain itu, projek jangka panjang kedua telah bermula bagi membekalkan air terawat dari Stesen Pam Penggalak Lapangan Terbang Bintulu ke rumah panjang dan kawasan sebelum Loji Rawatan Air Tatau untuk mengurangkan bebannya,” ujarnya.

Rundi turut berkata, projek ini dijangka siap dalam masa dua tahun lagi.

Sekiranya terdapat masalah gangguan bekalan air atau permintaan penghantaran air, orang ramai boleh terus menghubungi pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bahagian Bintulu di talian 086-344544 atau 016-8618527.

Keadaan bekalan air di sauk loji rawatan air di Tatau yang telah dikorek.
Kerja-kerja menaik taraf pam air di Loji Rawatan Air di Tatau.

Suara Sarawak