Anak-anak balita di Gaza
telah terganggu tidurnya
oleh bunyi-bunyi dentuman
tanpa pernah memahami
perbezaan
di antara mimpi dan letupan
selepas langit seakan lama marah
lantas mengundang para naga
saban waktu memuntahkan bara
api
ke atas tubuh kecil mongel tidak
berdosa
tiada yang sempat pun kenal
dunia.
Walhal di lorong-lorong
si anak balita leka memeluk patung
tanpa kepala dengan mata
berkaca-kaca
sedangkan jasad sang ibu
sudah ranap menjadi debu
bersama timbunan batu-batu
di bawah runtuhan puing-puing
rumah
yang suatu waktu masa dahulu
pernah
dipenuhi harum bau roti
dan lantunan bacaan ayat suci
sebelum menjelang pagi.
Hanya tinggal kini percik jerit
daripada tangisan suara ambulans
yang membawa kepingan jenazah
longlai berdarah dan parah
tanpa sempat dikafan.
Reruai Kreatif Putera
Miri, Sarawak
Oktober 2026
