KUCHING: Pencapaian cemerlang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak sepanjang 2025 bukan sahaja membuktikan kecekapan organisasi malah menonjolkan dedikasi warga kerjanya dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.
Pengarahnya, Cornelia Wong Chui berkata, sejajar dengan itu, penganjuran Majlis Makan Malam dan Sanjungan Budi 2026 bertujuan meraikan serta memberi penghargaan kepada warga ibu pejabat atas segala sumbangan dan pencapaian sepanjang tahun lalu.

“Antara pencapaian tersebut ialah kejayaan pengoperasian 10 laluan BAS.MY Kuching bermula 5 Mac 2025 dan pengeluaran sebanyak tujuh Pekeliling LPKP Sarawak yang berkuat kuasa pada Oktober 2025.
“Selain itu, pencapaian LPKP Sarawak termasuklah penganugerahan Sijil Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang disampaikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 20 November 2025 bersempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2025,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Beliau menyeru agar warga LPKP Sarawak terus memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjalankan tugasan harian, di samping memperkukuh profesionalisme.
“Warga LPKP Sarawak juga perlu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan dan tuntutan semasa,” jelasnya.
Majlis tersebut turut meraikan seorang pegawai LPKP Sarawak, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Abang Zulkarnain Abang Ibrahim, yang bakal berpindah tempat bertugas.
Beliau yang berkhidmat dengan LPKP Sarawak selama 10 tahun akan memulakan tugas baharu di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak pada hujung bulan ini.
Justeru, seluruh warga LPKP Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas segala jasa, khidmat bakti serta komitmen yang dicurahkan Abang Zulkarnain.
Mereka turut mendoakan beliau terus diberikan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan dan mencapai kejayaan lebih gemilang di tempat baharu.
Hadir sama Timbalan Pengarah Razami, Mohamad Jamali; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pelesenan, Rosidah Mohtar; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pematuhan, Faizul Azri Suhaili serta pegawai kanan LPKP Sarawak yang lain.



