LRT Sarawak guna sistem ART

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menerokai pilihan menggunakan teknologi tren terkini yang mungkin dapat mengurangkan kos pembinaan.

Pilihan ini adalah untuk menyelesaikan isu transportasi bandar di bandar raya ini dan ia dilihat semakin menghampiri kenyataan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kini berada di bandar Nanchang, China untuk menyaksikan sendiri Sistem Aliran Transit Rapid Autonomi (ART) yang menjadi sebahagian daripada penyelesaian transportasi di bandar-bandar besar.

“ART mungkin mampu mengurangkan kos pelaksanaan apabila alirannya dapat digunakan di jalan raya biasa atau bertingkat,” kata Abang Johari kepada pegawai-pegawai Kerajaan Sarawak yang mengiringinya semasa lawatan terbabit.

Laluan yang dicadangkan untuk kaedah ini ialah Kuching-Samarahan dan Kuching-Serian.

ART merupakan tren bertayar apabila tidak menggunakan landasan tren konvensional yang dibangunkan oleh CRRC Corporations Ltd. Ia bergerak di atas landasan maya di jalan raya biasa dan dikawal menggunakan arahan berpusat.

Ketua Menteri dan anggota delegasinya dibawa menaiki ART sepanjang lima kilometer melalui laluan bandar untuk menimba pengalaman pertama menaiki tren dipacu kuasa elektrik dan hidrogen.

Mereka kemudian dibawa melawat kemudahan pengeluaran di pinggir bandar sebelum menghadiri taklimat CRRC. Antara yang mengiringi Ketua Menteri termasuk Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr. Jerip Susil dan Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Hussain.