ARTIKEL

LTdL26: ASTANA, PICNIC hadir dengan misi berbeza

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Dua pasukan ‘World Team’ dalam saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) kali ini, XDS Astana Team dan Team Picnic PostNL menampilkan misi berbeza berdasarkan senarai awal nama pelumba yang dihantar menjelang bermula Peringkat 1 Shah-Kampar pada 27 September ini.

Astana menyenaraikan empat pakar pecut dan dua pendaki dalam barisan enam pelumbanya, manakala Picnic PostNL masih berharap kepada barisan pelumba kurang ternama dan cetek pengalaman.

Gabungan Matteo Malucelli dan Gleb Syritsa yang masing-masing mengumpul 10 kemenangan peringkat dalam LTdL sepanjang 2023 hingga 2025, dan dengan bantuan Lev Gonov serta pelumba muda, Alessio Dalle Vedove, pasukan berdaftar di Kazakhstan itu dilihat memasang sasaran dalam henjutan terakhir beramai-ramai di laluan landai.

Pelumba Ecuador berusia 25 tahun, Harold Martin Lopez pula diharap mampu mengejar kedudukan terbaik dalam klasifikasi individu keseluruhan (GC), bersama-sama pemenang Peringkat 8 LTdL25 dari Tangkak ke Kuala Lumpur, Aaron Gate.

Pelumba kelahiran Itali, Malucelli, 32, yang penuh pengalaman, dilihat masih berada pada tahap terbaiknya dan berkesempatan bersaing dalam Giro d’Italia 2026, begitu juga pelumba Russia, Syritsa, 26, yang mencatat kemenangan peringkat terbarunya di Baku-Khankendi Tour of Azerbaijan, Mei lalu.

Pelumba Russia Gonov, 26, yang turut beraksi pada LTdL25 dan menduduki tangga ke-50 dalam senarai GC, dan pelumba New Zealand, Gate, 30, diharap memacu Lopez ketika pendakian atau mengepalai teraju depan Astana sebelum membuka ruang untuk Malucelli atau Syritsa menjelang tiba di garisan penamat.

Berbeza pula dengan Picnic yang menggegar dalam penampilan pertama pada 2024 menerusi pemenang jersi keseluruhan dari Britain Max Poole, kali ini menyenaraikan hanya dua pendaki tulen iaitu Tim Naberman, 27, dan pelumba Colombia berusia 21 tahun, Guillermo Juan Martinez.

Naberman diberi kesempatan beraksi dalam Giro d’Italia Mei lalu tetapi sekadar menduduki tangga ke-132 manakala Martinez pula mendapat peluangnya berkayuh dalam Vuelta a Espana 2026 selepas beraksi baik menduduki tempat ke-16 keseluruhan dalam Volta ao Algarve pada Februari, dan ke-20 di Tour de Pologne, bulan lalu.

Pelumba kelahiran Australia, Matt Dinham yang berada di tangga ke-15 keseluruhan pada LTdL25 lalu, dilihat bakal bergelut untuk memulihkan tahap kecergasannya selepas mengalami kecederaan kaki pada Tour de Suisse, Jun lalu.

Tiga lagi pelumba pecut Picnic dalam senarai yang dibawa pengurus Melvin Pulliere itu nanti ialah pelumba Ireland berusia 27 tahun Dillon Corkery; dan dua pelumba muda Belanda, Milan de Cuester, 20, dan Mees Vlot, 21.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, walaupun Astana dan Picnic ialah pasukan berstatus WorldTeam, objektif dan strategi utama mereka kali ini mudah dibaca.

Sebagai rekod, 19 pelumba tersingkir kerana lebih masa (Outside Time Limit) pada Peringkat 4 Kuala Kubu Baru ke Bentong di LTdL24, selepas mengharungi pendakian ke Cameron Highlands, sehari sebelumnya.

Mengenai Picnic pula, Emir berkata pasukan itu kurang menyerlah pada tahun ini dan sehingga 9 September lalu mereka menduduki ranking ke-30, jauh di belakang pasukan WorldTeam lain serta beberapa pasukan ProTeam yang turut bersaing di LTdL26 ini.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini, dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

Jelajah edisi ke-30 LTdL26 itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU