SIBU: Tinjauan menyeluruh dalam mengenal pasti serta menggantikan penutup lubang periksa (manhole) yang hilang atau rosak harus segera dilaksanakan bagi menjamin keselamatan awam.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee, berkata demikian susulan tragedi menyayat hati melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang pembetungan terbuka di Jalan Wong Soon Kai.
Beliau menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa serta menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.
“Tragedi ini menonjolkan isu keselamatan awam yang telah lama wujud. Sama ada infrastruktur ini di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan atau agensi persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan proaktif mesti diambil segera,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Pelawan berkata demikian dalam sidang media di Pusat Khidmat DUN Pelawan, di sini, semalam.
Justeru, beliau menggesa agar Majlis Perbandaran Sibu (MPS), JKR Bahagian Sibu dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sibu segera menjalankan tinjauan menyeluruh di kawasan masing-masing.
Menurutnya, beliau telah menghubungi Pengerusi MPS, Jurutera Bahagian JKR Sibu serta jurutera JPS Sibu untuk memohon perhatian segera dan tindakan bersepadu bagi menangani isu tersebut.
“Saya turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat dalam kecurian dan perdagangan haram logam sekerap, termasuk penutup lubang periksa.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini membahayakan nyawa orang awam dan perlu dihentikan dengan segera,” tegasnya.
Dalam kenyataannya, beliau juga menekankan bahawa keselamatan kawasan bandar dan pekan adalah tanggungjawab bersama semua pihak, lebih-lebih lagi dalam usaha melindungi golongan kanak-kanak.
“Kita mesti menjadikan peristiwa ini sebagai titik tolak untuk memperkukuh langkah berjaga-jaga dan meningkatkan kerjasama antara semua pihak bagi mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” ujarnya.
Insiden ini menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih peka terhadap aspek keselamatan awam dan keperluan mendesak untuk memantau serta menyelenggara infrastruktur asas di kawasan tumpuan awam.



