KAPIT: Bermula dari sebuah kampung kecil di Entawau, Kapit, wanita tabah bernama Lucy Jah Iba kini muncul sebagai ikon keusahawanan tempatan sekali gus membuktikan kejayaan besar boleh dicapai walaupun berakar dari desa.
Hari ini, Lucy mencatat satu lagi pencapaian apabila Bunggas Laundry dan Bunggas Homestay miliknya dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di Jalan Bleteh.
“Dulu saya cuma gadis kampung dari Entawau. Tapi saya percaya, kalau rajin dan tidak malu belajar, kita juga boleh berjaya seperti orang lain,” kata Lucy.
Lucy memulakan perjalanan usahawanannya lebih 30 tahun lalu dengan modal kecil dan semangat besar.
Kini, di bawah jenama Syarikat Bunggas, beliau mengendalikan kafe, syarikat pembinaan dan pembekalan, pengedaran barangan kawalan serta terbaharu dobi dan inap desa yang juga merupakan inap desa pertama milik wanita Bumiputera di Kapit.
Kini, Lucy menggajikan lebih 30 pekerja, mencatat jualan tahunan melebihi RM1 juta dan merancang untuk membuka pasar mini serta stesen minyak PETROS tidak lama lagi.
“Bagi saya, ini bukan sekadar tentang perniagaan. Saya mahu cipta peluang pekerjaan untuk orang tempatan dan buktikan bahawa wanita kampung juga boleh jadi pemimpin dalam dunia keusahawanan,” ujarnya.
Beliau turut menghargai peranan MARA yang membantu perniagaannya melalui pembiayaan bernilai RM350,000, bantuan pensijilan halal, serta sistem digital bagi operasi syarikat.
Sehingga Julai 2025, seramai 1,298 usahawan di Sarawak telah menerima manfaat daripada inisiatif MARA, dengan lebih separuh daripadanya (56 peratus) terdiri daripada wanita sekali gus menunjukkan peningkatan signifikan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan negeri ini.
Majlis perasmian turut dihadiri pegawai MARA, komuniti tempatan dan usahawan lain, yang rata-ratanya menyifatkan kisah Lucy sebagai sumber inspirasi buat generasi muda luar bandar.





