ARTIKEL

Wakil Luncai Emas bersama DJ Nana pada Slot Bual Bicara di RTM Sarawak. (Foto utama)

Luncai Emas angkat bakat Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Industri muzik Malaysia perlu terus berkembang seiring perubahan landskap hiburan global yang semakin kompetitif.

Menyedari potensi besar bakat dari Bumi Kenyalang, syarikat rakaman dan penerbit muzik, Luncai Emas Sdn. Bhd., memperluaskan jaringan kerjasama strategik bersama penggiat seni muzik di Sarawak bagi membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

Usaha tersebut mendapat sokongan Persatuan Kebajikan Anak Jati Simunjan (PERKAJAS) dan Persatuan Lubuk Seni dan Warisan Simunjan (PERLUWAS) yang komited mencungkil, membimbing dan mengangkat bakat anak Sarawak dalam bidang nyanyian, penulisan lirik, penciptaan lagu serta penerbitan muzik.

Kerjasama itu mula menunjukkan hasil sejak 28 Februari lalu menerusi pelancaran karya komposer berpengalaman, Abdul Lattif Poli di bawah naungan Luncai Emas.

Perjumpaan dan jamuan bersama komposer, penyanyi, penulis lirik serta wakil studio rakaman.

Susulan kejayaan tersebut, beberapa karya baharu turut diperkenalkan kepada peminat muzik tempatan, termasuk lagu Pergilah hasil ciptaan Irvan Hamdan dan Gunan Syah yang dipersembahkan penyanyi berbakat, Sulaiman Usop.

Perkembangan positif itu membuktikan Sarawak mempunyai ramai penggiat seni berkualiti yang mampu menghasilkan karya berpotensi untuk diketengahkan ke pasaran lebih luas sekiranya diberikan bimbingan serta platform yang sesuai.

Bagi memperkukuh kerjasama tersebut, satu kunjungan khas diadakan di Kuching pada Sabtu (27 Jun), melibatkan delegasi Luncai Emas yang diketuai Pengarah Hak Cipta, Jennifah Johari, bersama Pengarah Produksi, Keon Omar dan Pembantu Hak Cipta, Sabarina Rahman.

Pertemuan itu menghimpunkan komposer, artis, penulis lirik dan pemilik studio rakaman tempatan dalam satu sesi dialog yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional.

Perjumpaan dan jamuan bersama komposer, penyanyi, penulis lirik serta wakil studio rakaman.

Pelbagai pandangan, pengalaman serta idea dikongsikan bagi memperkasakan pembangunan industri muzik Sarawak agar mampu memenuhi kehendak industri muzik moden.

Menurut pihak Luncai Emas, kejayaan seseorang artis bukan sekadar bergantung kepada bakat semula jadi atau memiliki suara yang merdu, sebaliknya memerlukan kesungguhan, disiplin serta kesediaan untuk terus belajar dan memperbaiki diri.

Mereka menjelaskan penghasilan sesebuah lagu yang mampu menawan hati pendengar memerlukan gabungan pelbagai elemen, termasuk kualiti vokal, susunan muzik yang mantap, penulisan lirik berkualiti serta identiti artis yang mampu memberikan nilai tambah kepada karya tersebut.

Perjumpaan dan jamuan bersama komposer, penyanyi, penulis lirik serta wakil studio rakaman.

“Untuk menghasilkan sebuah lagu popular yang mampu memikat hati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, kualiti vokal dan susunan muzik sahaja tidak mencukupi.

“Artis juga perlu memiliki pakej lengkap, termasuk sikap positif, fikiran terbuka, komitmen tinggi, fokus serta semangat untuk terus memperbaiki setiap kekurangan,” jelas wakil syarikat itu.

Selain memberi penekanan kepada pembangunan artis, Luncai Emas turut berkongsi mengenai kepentingan perlindungan hak cipta, peranan penerbit muzik serta strategi pengedaran karya melalui platform digital yang kini menjadi medium utama industri muzik dunia.

Kemuncak kunjungan tersebut menyaksikan rombongan Luncai Emas dijemput sebagai tetamu khas dalam program Silang Budaya yang disiarkan secara langsung menerusi Sarawak FM pada Ahad (28 Jun), jam 3.00 petang.

Menerusi sesi bual bicara itu, pihak Luncai Emas menyatakan kesediaan untuk terus membuka ruang kerjasama kepada komposer yang ingin mendaftarkan karya di bawah syarikat tersebut sebagai penerbit muzik (music publisher), selain membantu artis tempatan mengedarkan karya mereka ke pelbagai platform penstriman digital bagi memperluaskan capaian pendengar.

Perjumpaan dan jamuan bersama komposer, penyanyi, penulis lirik serta wakil studio rakaman.

Menurutnya, perkembangan teknologi digital telah membuka peluang lebih besar kepada artis bebas dan pencipta lagu untuk memasarkan karya tanpa batasan geografi, sekali gus membolehkan bakat dari Sarawak bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dalam masa sama, pihak syarikat merakamkan penghargaan kepada RTM Sarawak atas peluang yang diberikan untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama pendengar, selain mengucapkan terima kasih kepada PERKAJAS, PERLUWAS serta semua penggiat seni yang hadir menjayakan sesi pertemuan tersebut.
Luncai Emas berharap kerjasama strategik yang terjalin akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri muzik Sarawak dengan melahirkan lebih ramai komposer, penulis lirik dan penyanyi berdaya saing.

Melalui jaringan kerjasama yang kukuh antara syarikat rakaman, persatuan seni dan penggiat muzik tempatan, bakat anak Sarawak diyakini mampu terus menyerlah serta mengharumkan nama negeri dan negara di persada muzik serantau dan antarabangsa.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU