MA63: Kerajaan Sarawak tidak mahu perkara sama berulang

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengakui Sarawak merupakan negeri ketiga terkaya dalam Keluaran Negara Kasar (KDN) namun masih ramai penduduknya miskin.

Tegasnya, perkara itu berlaku kerana selama ini hasil kekayaan Bumi Kenyalang disalurkan ke Putrajaya.
“Berikutan itu, kita tidak mempunyai pendapatan yang sebenar dan Kerajaan Negeri enggan perkara sama berulang.

“Maka, kita ingin Kerajaan Persekutuan mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tri Tahunan (TGM) dan sambutan Ulang Tahun Ke-63 Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) di sini, malam kelmarin.

Menurut Abang Johari, melihat kepada senario terbabit, Kerajaan Negeri mengenakan cukai jualan minyak dan gas sebanyak lima peratus untuk menambah pendapatan yang dianggarkan RM3 bilion setahun.

Beliau juga berkata, hasil pendapatan tambahan yang diperolehi daripada pengenaan cukai terbabit akan disalurkan semula kepada rakyat menerusi projek-projek pembangunan.

“Oleh yang demikian, kita mencari model baharu dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar dengan membekalkan penduduknya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta infrastruktur digital.

“Malah, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berjumlah RM6 bilion untuk pembinaan jalan raya dan jambatan di samping membentuk Agensi Pembanguan Huluan Rajang (URDA) dan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi dengan masing-masing diberi dana tambahan bernilai RM1.5 bilion,” jelasnya.

Oleh sebab itu, kata Abang Johari, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berusaha untuk melindungi hak dan pada masa yang sama, ingin mendapatkan kembali hak Sarawak.

“Malah, hak Sarawak turut termaktub di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) dan saya yakin perkara ini dapat diselesaikan di bawah Jawatankuasa Teknikal MA63.

“Dengan ini, saya percaya Sarawak bakal menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Sim Kui Hian serta Presiden SDNU, Tan Sri William Mawan Ikom.

Suara Sarawak